Selasa, 18 Oktober 2016 | 3:25pm

Gangguan bekalan air di 45,000 premis di Seremban, PD

SEREMBAN: Aduan orang ramai mengenai air paip berbau menyebabkan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) menutup Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi di Kuala Sawah, dekat sini, hari ini.

Tindakan itu menyebabkan kira-kira 33,000 premis di Port Dickson dan 12,000 premis di Seremban, yang menerima bekalan air dari LRA itu, mengalami gangguan bekalan air mulai jam 1 tengah hari tadi dan dijangka hanya pulih kira-kira jam 8 malam nanti.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail, berkata pengguna menghubungi Pusat Panggilan SAINS sejak semalam, memaklumkan masalah air berbau itu.

Katanya, penutupan LRA itu bertujuan mengenal pasti punca masalah itu, sama ada di LRA atau sumber air mentah dari Sungai Linggi.

"Antara kawasan di Port Dickson yang mengalami gangguan bekalan air, termasuk dari Estet Escort hingga Tampin Linggi, kawasan Batu 4 Jalan Pantai hingga Simpang Siliau sertadi antara Simpang Bukit Palong hingga Bukit Pelandok dan Chuah.

"Di Seremban, antara kawasan terbabit ialah dari Taman Pinggiran Senawang hingga Kampung Sungai Sendayan dan Nusari Bayu," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Norzita berkata, SAINS memohon maaf terhadap kesulitan yang berlaku dan berusaha memastikan bekalan air akan dipulihkan dengan segera.

Katanya, pelanggan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi SAINS di talian bebas tol 1-800-88-6982 atau melalui e-mel aduan@sains water.com.

Berita Harian X