Rabu, 7 September 2016 | 6:56pm

10,000 jemaah cilik sertai simulasi haji

SEBAHAGIAN peserta kanak-kanak yang menyertai Program Simulasi Haji Cilik 2016 anjuran Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM). - Foto Shazreen Zamzuri
SEBAHAGIAN peserta kanak-kanak yang menyertai Program Simulasi Haji Cilik 2016 anjuran Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM). - Foto Shazreen Zamzuri

SHAH ALAM: Seramai 10,000 kanak-kanak menyertai Program Simulasi Haji Cilik 2016 yang dianjurkan secara serentak di 10 negeri oleh Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM), hari ini.

Setiausaha PERTIM yang juga Penyelaras Program, Siti Ruzita Ramli, berkata program yang disertai jemaah cilik berumur empat hingga enam tahun itu mula dianjurkan pada tahun 2014.

"Untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kita mendapat penyertaan daripada 151 tadika Islam membabitkan 3,600 murid. Negeri lain pula ialah Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Sabah.

"Tiga negeri yang tidak menyertai kita adalah Pahang, Sarawak dan Perak. Namun, kami berharap semua negeri terbabit akan menyertainya pada tahun depan," katanya kepada pemberita di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Siti Ruzita berkata, berikutan tempat terhad, pihaknya terpaksa mengehadkan penyertaan peserta seramai 20 hingga 30 orang bagi setiap tadika.

"Penyertaan terhad ini bagi memastikan kualiti pembelajaran ibadah haji yang ingin diterapkan kepada peserta. Program ini membolehkan jemaah cilik berusia seawal usia empat tahun merasai suasana ketika menunaikan ibadah haji menerusi pendidikan secara tidak formal," katanya.

Berita Harian X