Ahad, 28 Ogos 2016 | 11:46am

3,500 peserta sertai BHPetrol Orange Run

PETALING JAYA: Kira-kira 3,500 peserta dari dalam dan luar negara menyertai acara larian amal BHPetrol Orange Run ke-11 untuk mengumpul dana bagi tiga pertubuhan kebajikan, di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata larian amal itu juga bertujuan menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.

Katanya, lapan kategori dipertandingkan membabitkan peserta kategori usia 13 hingga 40 tahun ke atas untuk lelaki dan wanita dengan jarak larian 11 kilometer yang dilepaskan pada jam 7.15 pagi.

"Acara menjelang sambutan Hari Kebangsaan ini juga untuk menyatupadukan hubungan dalam kalangan peserta yang berbilang bangsa," katanya.

Sementara itu, juara kategori veteran lelaki, A Vadivelu, 49, berkata beliau sering menyertai acara larian bagi meningkatkan tahap kesihatan.

"Ini adalah larian BHPetrol kali ketiga saya sertai dan pernah memenangi tempat ketiga serta kedua, masing-masing pada 2014 dan 2015.

"Saya juga berbesar hati dapat membantu golongan memerlukan apabila wang pendaftaran peserta sebanyak RM5 didermakan kepada pertubuhan kebajikan," katanya.

Berita Harian X