Selasa, 19 Julai 2016 | 4:26pm

NS guna dron pantau hutan, sungai dicerobohi

PENGASAS Aimiali Aerial Production, Syed Ali Syed Abdullah Thani (kanan) menunjukkan demonstrasi menggunakan dron sambil diperhatikan Mat Ali (tengah) di Pusat Pendidikan Pelancongan (Eco-Edutourism) Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
PENGASAS Aimiali Aerial Production, Syed Ali Syed Abdullah Thani (kanan) menunjukkan demonstrasi menggunakan dron sambil diperhatikan Mat Ali (tengah) di Pusat Pendidikan Pelancongan (Eco-Edutourism) Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

PORT DICKSON: Negeri Sembilan akan mula menggunakan dron bagi membantu mengawal kawasan hutan simpan di negeri itu daripada diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan, berkata penggunaan dron yang dilengkapi kamera berkualiti tinggi itu membolehkan penguatkuasa meninjau kawasan yang sukar dimasuki dengan lebih berkesan.

"Ketika ini, penguatkuasa terpaksa berjalan kaki atau menggunakan pacuan empat roda untuk masuk ke kawasan tertentu di dalam hutan selepas mendapat maklumat pencerobohan dan kaedah itu mengambil masa lama.

"Penggunaan dron membolehkan mereka membuat pemantauan dan tinjauan dari jauh sebelum merancang tindakan susulan termasuk strategi bagi menangkap penceroboh," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan demonstrasi penggunaan dron untuk pemantauan hutan di Pusat Pendidikan Pelancongan (Eco-Edutourism) Hutan Simpan Sungai Menyala di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Salim Aman dan Pegawai Hutan Daerah Negeri Sembilan Barat, Azrul Ekhuan Eliah.

Mat Ali berkata, sebanyak dua unit dron yang mampu terbang pada ketinggian 500 meter dengan radius penerbangan sejauh lima kilometer dan berharga kira-kira RM6,000 setiap satu itu akan dibeli untuk permulaan.

Katanya, dron itu akan turut dipinjamkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG), masing-masing untuk meninjau kawasan hulu sungai dan aktiviti curi pasir di negeri ini.

Berita Harian X