Jumaat, 15 Julai 2016 | 10:27pm
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PRASARANA, Datuk Azmi Abdul Aziz. - Foto Zunnur Al Shafiq
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PRASARANA, Datuk Azmi Abdul Aziz. - Foto Zunnur Al Shafiq

Operasi LRT laluan Seri Petaling, Ampang, ditutup esok

 

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (PRASARANA) mengumumkan penutupan operasi Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) jajaran Sri Petaling dan Ampang pada esok bagi membolehkan kerja penstrukturan semula laluan berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Azmi Abdul Aziz, berkata dengan penutupan operasi itu, perkhidmatan bas akan disediakan untuk pengguna LRT.

Katanya, perkhidmatan bas percuma itu akan beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

"Kekerapan perkhidmatan bas perantara adalah antara 15 hingga 30 minit," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Azmi berkata, mulai Ahad ini hanya satu laluan utama saja akan beroperasi dan dikenali sebagai laluan Sri Petaling, manakala laluan Ampang hanya membabitkan lapan stesen bermula dari Chan Sow Lin hingga Ampang.

LRT laluan Sri Petaling menjadi laluan utama dengan penambahan stesen dan perjalanan lebih jauh serta memberi liputan perkhidmatan kepada lebih ramai pengguna.

"Bermula Ahad ini, akan bermula perkhidmatan LRT laluan Sri Petaling yang baru membabitkan 29 stesen antara Sentul Timur hingga ke Putra Heights yang kemudian akan bersambung dengan stesen bersepadu Rapid KL laluan Kelana Jaya," katanya.

Berita Harian X