Selasa, 7 Jun 2016 | 1:59pm

Awak-awak hilang lebih 24 jam ditemui selamat

PELABUHAN KLANG: Seorang awak-awak yang dilaporkan hilang kelmarin, ditemui selamat oleh sekumpulan nelayan kira-kira 25 batu nautika Barat Daya Sekinchan, pagi semalam.

Difahamkan, awak-awak berusia lingkungan 30 tahun itu hilang selepas terjatuh daripada bot akibat ombak yang kuat.

Pemangku Timbalan Pengarah Operasi DM4, Leftenan Komander Maritim Suzanna Razali Chan, berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima panggilan kecemasan kehilangan awak-awak berkenaan pada jam 1.30 petang.

Katanya, mangsa dilaporkan hilang kira-kira 15 batu nautika dari Rumah Api (OFB).

"Operasi mencari mangsa dilancarkan Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bharu. DM4 mengarahkan sebuah bot, kapal serta helikopter AW139 dari Stesen Udara Subang untuk membantu operasi pencarian.

"Kira-kira jam 7.45 pagi semalam, Pusat Operasi DM4 menerima panggilan memaklumkan mangsa berjaya diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan di kawasan Barat Daya Sekinchan dan bot Penggalang 10 ditugaskan ke lokasi bagi mengesahkan identiti mangsa," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Suzanna berkata, mangsa ditemui dalam keadaan sihat walaupun berada lebih 24 jam di laut atas bantuan jaket keselamatan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah.

"Orang ramai disarankan sentiasa memakai jaket keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut.

"Sekiranya terdapat sebarang aduan atau kecemasan, APMM berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat yang lengkap di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi DM4 di talian 03-31769100," katanya.

Berita Harian X