Rabu, 25 Mei 2016 | 2:24pm

JAIM perlu proaktif tangani ajaran sesat - Ketua Menteri

AYER KEROH: Kerajaan negeri mahu Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melalui bahagian penguatkuasaannya menggerakkan unit khas secara proaktif bagi menangani isu penyebaran ajaran sesat yang dilihat semakin berleluasa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata pihaknya memandang serius isu terbabit kerana bimbang ia merebak lebih cepat dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Rasul Azli Samad
KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Rasul Azli Samad

"Saya sudah arahkan JAIM melalui bahagian penguatkuasaan supaya tidak alpa dan aturkan siasatan secara proaktif.

"Bukan hanya menunggu laporan daripada pihak awam tetapi mereka (JAIM) mempunyai unit khas untuk adakan siasatan lebih awal," katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Kumpulan Gim Aik Holdings Sdn Bhd (Gim Aik) di Seri Negeri, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Idris sebagai Pengerusi LPM dan G H Ong mewakili syarikat Gim Aik, masing-masing menandatangani memorandum perjanjian disaksikan Pengarah Eksekutif LPM, Saleh Mohd Dom.

Idris yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, langkah itu wajar bagi memudahkan pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan segera terhadap pihak tertentu yang bertanggungjawab terhadap isu penyebaran berkenaan.

Sementara itu, Idris berkata, sebanyak 1,173 unit premis membabitkan perumahan Rumah Mampu Milik (RMM), rumah teres dua tingkat dan kedai akan dibangunkan dengan kos RM80 juta di Bukit Lintang serta Ayer Molek di daerah ini dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, semua pembangunan itu bakal dibina di kawasan seluas kira-kira 47 hektar yang dinamakan Taman Paya Permai.

"Hari ini kawasan Ayer Molek tidak lagi sesuai dibangunkan projek perumahan kos rendah kerana berada di pinggiran bandar," katanya.

Berita Harian X