Selasa, 17 Mei 2016 | 2:23pm

1,521 kes kebakaran terbuka

Pengarah JBPM negeri, Nazili Mahmood (kiri) menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Fauzi Musa (kanan) pada sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil. - Foto Khairunisah Lokman
Pengarah JBPM negeri, Nazili Mahmood (kiri) menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Fauzi Musa (kanan) pada sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil. - Foto Khairunisah Lokman

AYER KEROH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka merekodkan sebanyak 1,521 kes kebakaran terbuka sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Nazili Mahmood, berkata jumlah itu meningkat 59 peratus, berbanding 956 kes serupa bagi tempoh sama, tahun lalu.

"Selain faktor cuaca panas melampau, sikap sesetengah pihak melakukan pembakaran terbuka adalah antara penyebab peningkatan kes kebakaran.

"Sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,147 kes direkod membabitkan kebakaran belukar, ladang dan kebun (44), sampah (56), hutan (43), tanah gambut (1) dan lain-lain (230)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, di sini, hari ini.

Pada majlis itu juga, seramai 11 pengamal media di negeri ini menerima sijil penghargaan.

Nazili berkata, pada tahun lalu sebanyak 39,101 panggilan kecemasan diterima jabatan itu membabitkan kes menyelamat dan khidmat kemanusiaan seperti menangkap ular atau haiwan berbisa dan berbahaya, selain pemusnahan serangga dan bunuh diri.

Katanya, pembakaran bahan buangan di kawasan terbuka antara penyebab berlakunya kes kebakaran hutan susulan api mula merebak ke kawasan berdekatan hutan.

"Jumlah kes kebakaran di negeri ini masih terkawal.

"Orang ramai diingatkan supaya mengurangkan aktiviti pembakaran bahan buangan di kawasan terbuka sepanjang tempoh cuaca panas," katanya.

Berita Harian X