Jumaat, 8 April 2016 | 6:51pm

6,000 dijangka sertai Separuh Marathon IJM Land 2016

SEREMBAN: Seramai 6,000 peserta dijangka menyertai program Separuh Marathon IJM Land 2016 di Seremban 2 pada 14 Ogos ini.

Program yang memasuki tahun kelima itu buat kali pertama akan diadakan membabitkan jarak 21 kilometer (km) atau separuh marathon, berbanding sebelum ini yang dikenali sebagai Larian IJM Land sejauh 20 km.

Pengurus Besar Kanan IJM Land Bhd, Hoo Kim See, berkata sambutan menggalakkan menyebabkan mereka menambah jumlah penyertaan, berbanding hanya 4,000 pada tahun lalu.

"Kita mendapat penyertaan memberangsangkan bagi semua kategori, malah penyertaan bagi kategori Fun Run iaitu larian sejauh 10 km sudah ditutup," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Program Separuh Marathon IJM Land 2016 menawarkan tujuh kategori iaitu terbuka lelaki dan wanita (21 km), veteran lelaki dan wanita (21 km), remaja lelaki dan wanita (10 km) serta Fun Run.

Kim See berkata, acara menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM13,200, barangan sukan dan makanan tambahan selain sijil penyertaan.

Berita Harian X