Khamis, 7 April 2016 | 12:07am

SPAD susun semula laluan bas di Sungai Besi

KUALA LUMPUR: Sebanyak empat laluan bas di Koridor Sungai Besi akan diselaraskan semula mulai hari ini di bawah Penyusunan Semula Rangkaian Bas Henti-henti secara berperingkat bagi meningkatkan perkhidmatan penumpang di kawasan berkenaan.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dalam satu kenyataan semalam, menjelaskan laluan berkenaan ialah Laluan 501 (Putrajaya Sentral-KTM Serdang-HAB Lebuh Pudu); Laluan 540 (Bandar Putra Permai-HAB Lebuh Pudu); Laluan 570 (Serdang Jaya-Serdang Raya-LRT Bukit Jalil); dan Laluan T571 (Taman Sri Pulai-Stesen LRT Sungai Besi).

"Penyelarasan laluan ini dilakukan selepas penilaian SPAD terhadap pengendali bas, Metrobus yang gagal mematuhi piawaian minimum yang telah ditetapkan oleh suruhanjaya," katanya.

Menurut kenyataan itu, Laluan 501 (Putrajaya Sentral-KTM Serdang-HAB Lebuh Pudu) yang dikendalikan Nadi Putra akan beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 11 malam dengan kekerapan 30 minit.

Sementara Laluan 540 yang dikendalikan oleh RapidKL akan beroperasi dari 6 pagi sehingga 11.30 malam dengan kekerapan 15 minit, manakala Laluan 570 dan Laluan T571 yang juga dikendalikan RapidKL akan beroperasi dari 6 pagi sehingga 11 malam dengan kekerapan masing-masing 30 minit dan 45 minit.

Penyelarasan berkenaan turut melibatkan Laluan 502 (Putrajaya Sentral-KTM Serdang) yang akan digabungkan dengan Laluan 501 manakala Laluan 541 (Pangsapuri Enggang-Bandar Putra Permai-KTM Serdang) akan dipanjangkan sehingga Stesen LRT Kinrara BK5 dengan waktu operasi bermula 6 pagi hingga 11 malam dengan kekerapan 30 minit.

"Penyusunan semula ini bukanlah satu pelaksanaan yang statik. Oleh itu, pihak suruhanjaya sentiasa terbuka kepada penyemakan semula dan penambahbaikan laluan serta jadual pengoperasian berdasarkan permintaan dan maklum balas pengguna," katanya.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi SPAD di talian 1-800-88-7723. - BERNAMA

Berita Harian X