Selasa, 23 Mei 2017 | 1:47pm

Sidang DUN PP kecoh lagi

Sesi membahas Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. - Foto NSTP/Danial Saad
Sesi membahas Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. - Foto NSTP/Danial Saad

GEORGETOWN: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini, kecoh apabila Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid membangkitkan beberapa isu berkaitan Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika membahas ucapan perasmian Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Ia turut mengakibatkan Speaker DUN, Datuk Low Choo Kiang terpaksa memberi amaran berkali-kali kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang supaya menghormati sesi perbahasan Jahara.

Malah, Choo Kiang turut memberi beberapa amaran arahan keluar DUN terhadap beberapa wakil rakyat daripada kedua-dua blok pembangkang dan kerajaan negeri, jika mereka berterusan bertikam lidah.

"Sudah berkali-kali saya bertoleransi dengan YB (Yang Berhormat) dalam ini dengan mengingatkan semua ahli dewan (ADUN) supaya duduk jika tidak dibenarkan mencelah. Duduklah YB, saya tidak ada masalah dengan apa yang diucapkan oleh Ketua Pembangkang (Jahara).

"Peringatan kepada semua dalam Dewan ini, saya harap ahli YB faham bahawa bukannya semua hujah dan pendapat ahli YB semuanya disokong dan sedap didengar. Kadang kala ada kritikan itu tidak apalah, kira ok.

"Jangan ajar Speaker, kalau YB tidak mahu duduk, saya yang akan keluar dari Dewan ini. EXCO pun kalau nak berucap, tunggu sesi penggulungan nanti, " katanya.

Antara isu yang menghangatkan DUN adalah, keengganan Guan Eng bercuti walaupun berhadapan dua tuduhan rasuah, banjir kilat dan campur tangan politik dalam Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang.

Berita Harian X