Isnin, 15 Mei 2017 | 7:54pm

Pemulihan Pulau Sembilan selesai hujung bulan ini

DATUK Nolee Ashilin Mohammed Radzi (kanan) bersama Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI), Datuk Liew Sew Yee (lima dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Management Berhad, Zuraida Md Taib (dua dari kanan) beramah mesra bersama peserta yang mengambil bahagian dalam 'Ipoh Cultural Parade 2017' di Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya
DATUK Nolee Ashilin Mohammed Radzi (kanan) bersama Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI), Datuk Liew Sew Yee (lima dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Management Berhad, Zuraida Md Taib (dua dari kanan) beramah mesra bersama peserta yang mengambil bahagian dalam 'Ipoh Cultural Parade 2017' di Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Proses pemulihan Pulau Sembilan yang dilakukan selepas kawasan itu ditutup kepada orang ramai termasuk pelancong sejak 1 April lalu, dijangka siap sebelum akhir bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata proses itu tidak menjejaskan 'Blue Tears' iaitu sejenis phytoplankton seperti kelip-kelip berwarna biru yang ada di pulau itu kerana kerja pemulihan hanya membabitkan kawasan daratan.

Katanya, penutupan kawasan itu juga turut menyumbang kepada pemulihan kawasan terbabit.

"Kita sasarkan sebelum akhir bulan ini persekitaran di pulau itu akan kembali kepada asal.

"Selepas itu, kita tidak akan terburu-buru membuka semula (Pulau Sembilan) kerana kita masih lagi belum menetapkan soal pentadbiran dan pengurusan pulau itu yang boleh diguna pakai secara terbaik, jadi belum ada keputusan (tarikh dibuka semula kepada orang ramai)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pra pelancaran program Ipoh Cultural Parade 2017 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) dengan kerjasama Tourism Perak di sini, hari ini.

Kerajaan Perak menutup pulau berkenaan susulan kemasukan pelancong tidak terkawal, selain Perbadanan Taman Negeri Perak mengesan ada pihak cuba membina struktur kekal di tapak perkhemahan di Pulau Lalang, Pulau Sembilan, yang boleh merosakkan ekosistem di gugusan pulau berkenaan.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, pihaknya menyasarkan lebih 25,000 pengunjung tempatan dan luar negara akan berkunjung ke Ipoh Cultural Parade 2017 yang juga bakal mencipta Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kumpulan perarakan budaya terbesar melebihi 1,500 peserta, sempena Sambutan Ulang Tahun PCCCI ke-110 pada 23 Julai ini.

"Perarakan akan mempamerkan pelbagai konsep termasuk pertunjukan pakaian, tarian, muzik, seni mempertahankan diri, warisan dan sejarah, amalan tradisional dan makanan.

"Ia akan disertai 50 kumpulan terdiri daripada pelbagai agensi dan pemain industri pelancongan dan kebudayaan di Perak dan mampu meningkatkan kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2017," katanya.

Yang turut hadir pada majlis itu, Presiden PCCCI, Datuk Liew Sew Yee dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Management Berhad, Zuraida Mohd Taib.

Berita Harian X