Isnin, 13 March 2017 | 2:05pm

3 penyamun diburu polis

KETUA Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon (tengah) bersama Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shahrul Fahmy (kiri) dan Pegawai Siasatan Perundangan IPD Kampar, Inspektor Firdaus Jamil menunjukkan barang kemas yang berjaya ditemui semula susulan tangkapan empat suspek di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar. - Foto Muhaizan Yahya

KAMPAR: Polis memburu tiga lelaki yang masih bebas dipercayai terbabit dalam kes samun sebuah rumah di Mambang Diawan pada Januari lalu yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM400,000

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan usia 20an diburu selepas penangkapan empat anggota Geng Vicky yang didalangi seorang lelaki berusia 26 tahun dalam beberapa siri tangkapan sejak Januari lalu.

Katanya, polis sudah mengenal pasti ketiga-tiga suspek dan menggiatkan usaha untuk mengesan mereka yang dipercayai masih berada di negeri ini.

"Dalam kejadian pada 8.45 pagi 8 Januari lalu, mangsa yang bekerja sebagai kontraktor mengalami kerugian bernilai RM400,000 membabitkan wang tunai berjumlah hampir RM4,000, tiga geran tanah, barang kemas, dua komputer riba serta dua tabung berisi wang syiling apabila rumahnya dipecah masuk," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan empat suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun dalam tiga siri tangkapan di Kampar dan Johor termasuk dalang utama dikenali sebagai Vicky.

"Dengan penahanan empat suspek berkenaan, polis berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah di sekitar daerah Kampar sejak awal tahun ini," katanya.

Berita Harian X