Rabu, 8 March 2017 | 6:25pm

Warga emas terkejut sarapan bersama MB

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyuapkan pulut kuning kepada Fataziah Jaafar, sempena Hari Wanita Antarabangsa 2017 di Simpang Tiga, Belanja. - Foto Muhaizan Yahya
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyuapkan pulut kuning kepada Fataziah Jaafar, sempena Hari Wanita Antarabangsa 2017 di Simpang Tiga, Belanja. - Foto Muhaizan Yahya

PARIT: Fataziah Jaafar, 76, dari Kampung Buloh Akar di sini hanya diminta memeriahkan majlis Bersarapan Bersama Menteri Besar, tetapi tidak menyangka kehadirannya ke majlis itu menjadi sejarah besar dalam hidupnya.

Ini kerana Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bukan sahaja sudi duduk semeja untuk bersarapan dengannya, malah turut menyuapkan pulut kuning kepada ibu tunggal warga emas itu.

"Saya sungguh tidak sangka dapat duduk sebelah Menteri Besar. Seumur hidup saya, ini kali pertama bertemu Menteri Besar dan duduk di sebelah dia.

"Datuk Zambry turut suap pulut kuning sambil menganggap makcik ini seperti ibunya. Makcik rasa sangat terharu tetapi berbesar hati kerana dia tidak kekok duduk sebelah bersarapan bersama," katanya kepada wartawan, hari ini.

Kira-kira 300 penduduk sekitar Simpang Tiga, Belanja, di sini menghadiri Majlis Sarapan Pagi Bersama Menteri Besar di pekan Simpang Tiga bersempena Program Pemukiman Menteri Besar Daerah Perak Tengah bermula semalam dan berakhir Sabtu ini.

Pada majlis itu, Dr Zambry turut melancarkan Hari Wanita Negeri Perak sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

Turut hadir, EXCO Kerajaan Negeri iaitu Datuk Saarani Mohammad; Datuk Rusnah Kassim dan Mohd Nizar Zakaria.

Ketika ditanya apakah harapan beliau menerusi program berkenaan, Fataziah berharap kerajaan negeri dapat membantunya membaik pulih rumahnya yang usang.

Sementara itu, Dr Zambry turut menziarahi 10 rumah dalam Program Ziarah Kasih di sekitar Simpang Tiga dan menghadiri Program Mesra Kasih Pemimpin Bersama Masyarakat FELCRA Perak Tengah.

Dr Zambry dijadual hadir ke sesi Town Hall Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama pelajar institut pengajian tinggi (IPT) Daerah Perak Tengah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), malam ini.

Berita Harian X