Selasa, 7 March 2017 | 8:28pm

1,200 hektar sawah dimasuk dalam IADA - Zambry

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. - Foto Muhaizan Yahya
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. - Foto Muhaizan Yahya

PARIT: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mahu kawasan penanaman padi seluas kira-kira 1,200 hektar di Parlimen Parit dimasukkan ke dalam Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Beliau berkata, langkah itu perlu kerana kawasan penanaman padi di kawasan parlimen itu adalah besar, tetapi hasil pengeluaran padi kecil iaitu hanya kira-kira 2.6 tan metrik bagi setiap 0.4 hektar berbanding sasaran nasional sebanyak tujuh tan metrik sehektar.

"Kita ada 3,000 ekar (1,200 hektar) tetapi kawasan bendang di Parit tidak termasuk dalam IADA sebagaimana Sungai Manik, Kerian dan Seberang Perak dan ia terkeluar.

"Walaupun sebenarnya ia boleh bersambungan dan terletak tidak jauh namun malangnya ia tidak dimasukkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri dan menyertai Sukan Bendang di Bendang Senin Kampung Senin Layang-Layang Kanan yang diadakan sempena Pemukiman Menteri Besar di sini yang bermula hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Zambry berkata, permohonan bagi memasukkan kawasan penanaman padi di Parit ke dalam IADA sudahpun dipohon.

"Kerajaan negeri sedang menunggu maklum balas dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk memastikan masalah pesawah yang tidak mendapat hasil memberangsangkan di kawasan itu dapat diatasi.

"Saya juga mohon supaya MOA dan jabatan berkaitan supaya dapat masukkan kawasan ini dalam jadual mengikut peruntukan IADA," katanya.

Berita Harian X