Khamis, 2 March 2017 | 7:14pm

JAS diarah siasat 2 kilang sawit

Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim.
Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim.

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri diarahkan untuk menyiasat aduan yang dibuat oleh penduduk akibat bau busuk dan habuk yang dikeluarkan sebuah kilang kelapa sawit di Jalan Changkat, Jawi.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim, berkata siasatan itu bagi membolehkan pihaknya menyusun tindakan susulan yang sewajarnya.

"Kita akan minta JAS Negeri untuk buat siasatan mengenai aduan berkenaan, di Nibong Tebal setakat pengetahuan saya, ada dua kilang kelapa sawit dan kita akan siasat kedua-duanya.

"Benda ini memang berlaku (pencemaran), tetapi ia terjadi secara 'on off' (sekali gus), bukannya berpanjangan," katanya ketika ditemui BH selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan, di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, di sini hari ini.

Ahmad diminta mengulas mengenai laporan BH kelmarin bahawa penduduk terpaksa menghidu bau busuk dan habuk selama lapan tahun walaupun laporan sudah lama dibuat.

Laporan dan aduan dibuat kepada Majlis Perbandaran Seberang Prai dan JAS, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Penduduk mendakwa pegawai dari kedua-dua pihak hanya turun untuk melawat kilang terbabit, namun tidak melihat keadaan sebenar yang dialami oleh mereka.

Disebabkan tiada jalan penyelesaian diberikan, penduduk terpaksa menanggung penderitaan seperti mendapat penyakit kulit manakala kanak-kanak pula sering batuk dan selsema akibat menghidu udara yang tercemar.

Berita Harian X