Khamis, 9 Februari 2017 | 4:36pm

Dua maut dirempuh lori

MAYAT seorang penunggang motosikal yang maut selepas di rempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Sungai Karangan-Padang Meha. - Foto Ihsan ICJ Kulim
MAYAT seorang penunggang motosikal yang maut selepas di rempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Sungai Karangan-Padang Meha. - Foto Ihsan ICJ Kulim

KULIM: Dua penunggang maut selepas motosikal mereka dirempuh sebuah lori ais dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Sungai Karangan-Padang Meha, di sini malam tadi.

Mangsa, Mohamad Adam Mohd Adnan, 24, dari Kampung Kejai yang menunggang motosikal SYM Sport Bonus dan Azizah Hamid, 53, dari Kampung Bukit Hijau menunggang Modenas Kriss meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira jam

8.25 malam itu.

Anak lelaki Azizah berusia 18 tahun yang membonceng motosikalnya patah kaki kiri manakala pemandu lori ais tidak mengalami sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Baruddin Wariso, berkata mangsa datang dari arah Kulim Hi-Tech menghala ke arah Baling sebelum dirempuh lori yang dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun dari arah Sungai Karangan.

"Siasatan awal mendapati lori terbabit melanggar lampu isyarat berwarna merah lalu merempuh mangsa.

"Susulan kejadian itu, dua mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi dibawa ke Hospital Kulim," katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Berita Harian X