Sabtu, 31 Disember 2016 | 4:00pm

Adik rentung, abang cedera dalam kebakaran

KAMPAR: Seorang lelaki rentung manakala abangnya cedera apabila rumah mereka di Taman Aman di Mambang Diawan di sini, terbakar pagi tadi.

Dalam kebakaran jam 10.30 pagi itu, Lee Chai Hoong, 39, ditemui rentung dalam bilik tidur rumah itu, manakala Lee Swee Kam, 57, melecur tangan dan kaki ketika berusaha menyelamatkan diri.

Difahamkan, dua beradik itu yang mengalami masalah mental, tinggal berdua di rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Meor Mohd Ali Meor Hussien, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 10.39 pagi dan sebaik anggota bomba tiba di lokasi, mereka mendapati api sedang marak terbakar.

"Kebakaran berjaya dikawal kira-kira 30 minit kemudian dan apabila pemeriksaan dilakukan, kami menemui mayat mangsa dalam bilik," katanya.

Operasi pemadaman membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar dan Tapah.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.

Berita Harian X