KANGAR: Lebih 10 rumah di Taman Bukit Kubu, Kuala Perlis, di sini, rosak selepas bumbung kediaman teres satu tingkat itu tercabut akibat dilanda ribut, pagi tadi.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, berkata kejadian yang berlaku pada jam 7.45 pagi itu bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa.
"Setakat ini lebih 10 rumah mengalami kerosakan atap tercabut dan kerja memasang kain rentang sedang giat dijalankan.
"Tujuan APM memasang kain rentang ini bagi mengelak rumah mangsa dimasuki air akibat hujan dan juga sebagai bantuan awal sebelum mereka memasang atap baharu," katanya kepada BH, hari ini.
Katanya, 15 anggota APM terbabit dalam kerja pemasangan kain rentang itu bermula jam 8 pagi tadi.
Sementara itu, mangsa ribut, Hamdan Khalid, 68, berkata kejadian ribut itu berlaku tidak sampai sepuluh minit dan mengakibatkan keseluruhan atap rumahnya terbang ditiup angin.
"Saya berada di dalam rumah, bunyi angin terlalu kuat dan tiba-tiba bumbung tercabut.
"Ini kali pertama saya mengalami kejadian seperti ini tetapi bersyukur tiada kemalangan berlaku walaupun seluruh bumbung rumah saya rosak," katanya ketika ditemui, di sini.