Rabu, 19 Oktober 2016 | 5:43pm

112 mesin judi dirampas, 16 penjaga ditahan

KETUA Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon menunjukkan mesin judi simulator yang dirampas dalam dua serbuan pada sidan media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, hari ini. - Foto Farah Suhaidah Othman
KETUA Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon menunjukkan mesin judi simulator yang dirampas dalam dua serbuan pada sidan media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, hari ini. - Foto Farah Suhaidah Othman

KAMPAR: Polis menahan 16 individu termasuk warga asing dan penjaga premis serta merampas 112 mesin judi simulator dalam dua serbuan di Desa Lawan Kuda, Gopeng dan Jalan Aman, Mambang Diawan, di sini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata berikutan itu, polis merampas wang tunai berjumlah RM18,284 dan mesin judi simulator dianggarkan bernilai RM50,000.

Katanya, dalam serbuan terbaharu di Jalan Aman, Mambang Diawan, jam 3.30 petang Jumaat lalu, polis merampas 73 mesin judi berkenaan dan menahan dua lelaki tempatan berusia 19 dan 42 tahun dan sembilan lelaki warga Bangladesh yang bekerja di premis berkenaan.

Katanya, dalam serbuan sebelum itu iaitu di Desa Lawan Kuda, Gopeng, jam 8.15 malam, pada 7 Oktober lalu, polis merampas 39 mesin sama dan wang tunai hasil perniagaan berjumlah RM6,820.

"Dalam serbuan pertama ini, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 25 dan 39 tahun manakala sembilan lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Thailand, yang semuanya dipercayai bekerja di premis berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini, hari ini.

Kong Soon berkata, warga tempatan yang ditahan direman dua hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala warga asing yang ditahan direman 14 hari mengikut Seksyen 4A Akta Imigresen 1959.

Katanya, seramai 80 pelanggan pelanggan turut ditahan dalam kedua-dua serbuan bagi membantu siasatan namun kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Berita Harian X