Rabu, 20 Julai 2016 | 12:25am

10,000 serbu Festival Durian Tourism Perak

ANTARA 10,000 pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang menjamu durian sebanyak mungkin di Festival Durian dan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Tourism Perak di perkarangan Gua Tempurung, Gopeng. - Foto Balqis Jazimah Zahari
ANTARA 10,000 pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang menjamu durian sebanyak mungkin di Festival Durian dan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Tourism Perak di perkarangan Gua Tempurung, Gopeng. - Foto Balqis Jazimah Zahari

GOPENG: Seramai 10,000 pengunjung menyerbu Festival Durian 2016 dan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Tourism Perak bagi menikmati raja buah itu secara percuma di perkarangan Gua Tempurung, dekat sini, pada Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, ribuan buah durian datang dari sini dan beberapa lokasi lain di Perak menjadi juadah kepada pengunjung pada program anjuran Tourism Perak itu.

"Sambutan pengunjung memang di luar jangkaan sehingga mengakibatkan laluan jalan masuk ke destinasi pelancongan utama itu menjadi sesak dan pengunjung berjalan kaki hampir tiga kilometer daripada lokasi festival.

"Gopeng sememangnya terkenal dengan duriannya, jadi pada hari ini kita memberi peluang penduduk setempat dari serata negeri untuk menikmati durian di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Festival Durian dan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Tourism Perak di perkarangan Gua Tempurung di sini.

Festival bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari itu turut menyediakan pelbagai program menarik seperti pertandingan masak bubur durian dan roti jala bersama Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (ADABI), pertandingan makan durian terbanyak, selain menyediakan pelbagai gerai makanan seperti cucur durian, pelbagai buah-buahan dan makanan tempatan yang lain.

Nolee Ashilin berkata, program berkenaan turut mendapat sambutan hangat dan menerima kunjungan pengunjung dari Singapura.

Katanya, kerajaan negeri turut mengambil peluang mempromosikan pembukaan Gua Tempurung yang ditutup untuk proses naik taraf sebelum ini dan dibuka semula untuk kunjungan orang ramai pada April lalu.

"Diharap dengan penambaikan yang dibuat ini mampu menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke lokasi itu yang turut berada dalam senarai salah satu kluster utama pelancongan negeri ini," katanya.

Berita Harian X