Jumaat, 8 Julai 2016 | 9:29am

Bilik hasil Pejabat Daerah & Tanah Baling terbakar

ALOR SETAR: Bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Baling terbakar membabitkan bahagian bilik hasil di tingkat bawah, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 10 malam membabitkan bilik hasil yang berkeluasan kira-kira 130 meter persegi di tingkat bawah premis itu sehingga hampir 70 peratus terbakar.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Nur Hafizah Muhammad Lukman, berkata Balai Bomba dan Penyelamat Baling menerima panggilan pada jam 10.36 malam sebelum mengerahkan anggota ke lokasi kebakaran.

Beliau berkata, sebuah jentera dengan tujuh anggota diketuai Penguasa Bomba Kanan II, Shuid Abdul Rahman tiba di lokasi pada jam 10.39 malam.

"Api dapat dipadam sepenuhnya pada jam 11.35 malam dan pihak kami masih menyiasat punca dan jumlah kerugian," katanya.

Berita Harian X