Khamis, 16 Jun 2016 | 4:30pm

Bapa 3 anak ditahan dalam Ops AADK

ANTARA individu yang diperiksa dalam operasi AADK di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) malam tadi.
ANTARA individu yang diperiksa dalam operasi AADK di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) malam tadi.

KEPALA BATAS: Seorang bapa tiga anak adalah antara lapan penagih yang ditahan dalam operasi yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini, malam tadi.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan selepas dipercayai terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah di rumahnya dekat Padang Benggali, di sini.

Ketika ditahan, isterinya yang sarat mengandung dan tiga anak mereka turut berada dalam rumah yang tidak mempunyai bekalan elektrik itu, dipercayai dipotong sejak setahun lalu.

Ketua Pegawai AADK SPU, Mohd Said Hashim, berkata lapan penagih berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan di beberapa lokasi yang menjadi sarang penagih dadah di sekitar daerah ini.

"Operasi bermula jam 9 malam sehingga 12.30 tengah malam tadi, menahan lapan individu walaupun ada yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa AADK.

"Bagaimanapun, mereka dapat ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Dadah 1983 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X