GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama syarikat Macro Dimension Concrete Sdn Bhd (MDC), bakal mengkomersialkan blok bangunan konkrit menggunakan teknologi yang mampu mengurangkan pembebasan karbon dioksida kepada alam sekitar.
Penyelidik USM yang juga pensyarah Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Dr Cheah Chee Ban, berkata lazimnya proses penghasilan satu tan metrik blok bangunan konkrit akan membebaskan satu tan metrik karbon dioksida ke udara.
Beliau berkata, proses itu akan memberikan kesan buruk kepada alam sekitar dalam jangka panjang.
Bagaimanapun, teknologi berpaten yang dikajinya sejak tujuh tahun lalu atau lebih dikenali sebagai 'kaedah menghasilkan blok bangunan konkrit yang rendah jejak karbon', mampu mengurangkan tiga peratus karbon dioksida yang dibebaskan ke udara.
"Selain memastikan pembangunan lestari, produk konkrit teknologi ini juga dipercayai mempunyai jangka hayat lebih panjang, sekali gus mampu mengurangkan kos penyelenggaraan dan meningkatkan sekurang-kurangnya 50 peratus usia bangunan yang dibina menggunakan produk daripada teknologi ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara USM dan MDC di USM di sini, hari ini.