Jumaat, 25 March 2016 | 2:52pm

Kerajaan DAP Pulau Pinang 'tidak peduli' pandangan nelayan

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini, menegaskan pandangan golongan nelayan tidak akan mengganggu pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) yang dirancang di negeri ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow, berkata pihaknya akan mengambil pendekatan lebih proaktif berhubung pelaksanaan PIP.

"Sesiapa saja perlu nilai kemampanan dan kebolehpasaran projek ini yang sekali gus akan membawa Pulau Pinang ke satu perspektif baharu.

"Justeru, ia perlu dilihat dalam skop lebih luas dan tidak perlu lihat sangat kepada (pandangan) nelayan," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Sebelum ini, lebih 400 nelayan di sini, menolak cadangan tebus guna tanah yang dirancang kerajaan negeri menerusi pelaksanaan PIP.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar, sebelum ini dipetik berkata, kawasan tebus guna yang dirancang kerajaan negeri adalah lubuk emas kepada nelayan, terutama bagi hasil tangkapan udang.

Arshad berkata, kawasan itu paling banyak hasil udang kerana keadaan permukaan tanah lautnya yang cantik, tenang dan tidak berombak.

Beliau berkata, pihaknya bukan menolak pembangunan tetapi tidak mahu menjadi 'korban' dengan kerakusan projek yang dirancang kerajaan negeri.

Berita Harian X