Ahad, 21 Februari 2016 | 12:44pm

Bot karam dilapor ke laut sejak Khamis

BOT APMM dalam perjalanan melakukan operasi menyelamat sekumpulan pemancing yang dilaporkan hilang di sekitar perairan Pulau Payar. - Foto Zuliaty Zulkifli
BOT APMM dalam perjalanan melakukan operasi menyelamat sekumpulan pemancing yang dilaporkan hilang di sekitar perairan Pulau Payar. - Foto Zuliaty Zulkifli

ALOR SETAR: Bot yang dilaporkan karam kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Payar malam tadi, dipercayai telah keluar ke laut sejak Khamis lalu untuk membawa sekumpulan pemancing ke kawasan berhampiran Pulau Payar.

Isteri kepada tekong bot berkenaan Rosmawati Mat, 40, berkata suaminya telah keluar ke laut sejak pagi Khamis lalu dan sepatutnya tiba di Jeti Pangkalan Kuala Kedah, pagi ini.

Suami beliau, Zamidi Meeson, 42, telah lama menjalankan aktiviti membawa pemancing dengan menggunakan bot nelayan Kelas A miliknya.

Bagaimanapun Rosmawati tidak mengetahui jumlah sebenar pemancing dibawa suaminya kali ini.

"Bot berkenaan baru sahaja diservis oleh suami saya, dia dah tahu keadaan kawasan tempat dia selalu memancing itu dan saya harap dia selamat," katanya kepada pemberita di Pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Lt Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor memberitahu seorang nelayan telah memaklumkan kepada pihak APMM bahawa terdapat sebuah bot kayu mengalami kebocoran dan tenggelam secara perlahan-lahan di kawasan berkenaan.

Susulan itu, APMM katanya telah menggerakkan Bot Pengawal 41 dan Kapal Penyelamat 5 dari Pangkalan Kuala Kedah dan Pangkalan Langkawi untuk aktiviti mencari dan menyelamat sejak semalam.

Operasi yang diteruskan sejak pagi tadi bagaimanapun masih belum menemui mangsa. - BERNAMA

Berita Harian X