Rabu, 13 Januari 2016 | 8:03pm

PERKESO Perak bayar pampasan hampir RM40 juta

NOORHANITA (kiri) menyerahkan replika cek kepada Norehan di Ipoh, hari ini. - Foto Balqis Jazimah Zahari
NOORHANITA (kiri) menyerahkan replika cek kepada Norehan di Ipoh, hari ini. - Foto Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perak membayar hampir RM40 juta faedah PERKESO kepada pencarum yang layak sepanjang 11 bulan pertama tahun lalu.

Pengarahnya, Noorhanita Mohamad, berkata bayaran membabitkan 19,474 kes bagi semua jenis faedah pembayaran iaitu hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, pencen ilat, pencen penakat, faedah orang tanggungan (FOT) dan faedah pengurusan mayat yang diserahkan kepada pencarum atau waris.

Katanya, peningkatan bayaran faedah didorong tindakan proaktif Skuad Prihatin PERKESO yang turun padang membuat bayaran berkenaan.

"Skuad Prihatin PERKESO yang ditubuhkan September tahun lalu, memantau kes kemalangan yang diterbitkan dalam akhbar tempatan setiap hari supaya tindakan dapat diambil.

"Merujuk kes yang disiarkan akhbar, kita akan menghubungi pihak forensik, polis atau bomba untuk mendapat maklumat bagi mengesan waris tanpa menunggu mereka mengemukakan permohonan.

"Setakat ini, Skuad Prihatin PERKESO Perak menyelesaikan 13 kes yang diambil tindakan melalui akhbar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan wang pampasan kepada dua balu yang kematian suami dalam kemalangan jalan raya bulan lalu di sini, hari ini.

Noorhanita berkata, kes paling banyak diselesaikan jabatan membabitkan kes hilang upaya sementara ketika berada di tempat kerja dan dalam perjalanan ke tempat kerja.

Terdahulu, beliau menyerahkan cek faedah orang tanggungan berjumlah RM2,655 kepada balu S Suthirvanan, S Sarveswary, 32, dan pencen penakat berjumlah RM1,917 kepada balu Rohaizi Muhammad, Norehan Abd Rahman, 41, selain wang faedah pengurusan mayat RM1,500 kepada kedua-duanya.

Noorhanita berkata, mendiang Suthirvanan terbabit dalam kemalangan dalam perjalanan kerja ke tempat kerja di Kilometer 453.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran Hospital Sungai Buloh, Selangor, manakala Allahyarham Rohaizi terbabit dalam kemalangan di Jelapang, dekat sini.

"Hasil kepantasan Skuad Prihatin, kita membuat bayaran FOT pertama berjumlah RM265.60 kepada balu Sarveswary dan bayaran pertama pencen penakat berjumlah RM371.12 kepada Norehan bagi meringankan beban," katanya.

Berita Harian X