Ahad, 16 Julai 2017 | 12:10am
 M Ramachandran.
M Ramachandran.

Kelibat Ramachandran, Nur Herman di trek dirindui peminat

SUKAN SEA sentiasa melahirkan jaguh olahraga yang menjadi ikon sepanjang zaman. Minggu ini giliran atlet jarak sederhana kebangsaan, M Ramachandran bersama Nur Herman Majid diketengahkan untuk imbauan pembaca BH Ahad.

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah lebih 20 tahun berlalu, kehebatan M Ramachandran, 51, selaku pemegang rekod kebangsaan dan Sukan SEA bagi acara lari jarak jauh 5,000 meter (m) dan 10,000m, masih belum dapat dipadamkan oleh mana-mana atlet Malaysia hingga hari ini.

Bagaimanapun, sebelum terbabit secara serius dalam olahraga terutama acara larian jarak jauh, Ramachandran atau lebih mesra dengan panggilan Rama sebenarnya pernah bergiat aktif dengan sukan bola sepak di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Malah, Rama juga terpaksa berdepan pelbagai cabaran untuk bermain bola dan bergelar pelari jarak jauh tersohor di Asia Tenggara termasuk menghidap penyakit asma, sejak berusia enam tahun.

Namun, berkat kesabaran dan demi minat terhadap sukan bola sepak Rama sanggup menahan derita dan kesakitan sehingga penyakit asma dihidapinya hilang secara beransur-ansur selepas usianya semakin meningkat.

Beliau mula bergiat aktif dengan sukan olahraga selepas mendapat tunjuk ajar, sokongan moral dan nasihat daripada seorang guru di Sekolah Menengah Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh, Muar, Johor dikenali sebagai Sharom Suhaimi.

Rama kemudian mengambil keputusan untuk mencuba nasib dengan menyertai acara 400m di kejohanan peringkat sekolah dan muncul juara, sekali gus mendorong beliau meninggalkan bola sepak dan terus bergiat aktif dengan sukan olahraga.

Selepas kejayaan itu, Rama tidak lagi menoleh kebelakangan dan terus mara sehingga menjadi juara peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan sehingga bergelar pelari jarak jauh terpantas Asia Tenggara dan Asia serta layak ke Olimpik.

Antara kejayaan terbesar dan luar biasa dicapai Rama ialah menjadi atlet olahraga pertama Malaysia yang menang emas lapan kali berturut-turut di Sukan SEA, bermula dari 1993 hingga 1999.

Beliau juga masih memegang rekod kebangsaan bagi acara larian jarak jauh 5,000m dan 10,000m, yang sehingga kini belum dapat dipadamkan oleh pelari lain.

Rekod kebangsaan 5,000m (14:06.84s) yang dicipta ketika Kejohanan Olahraga Dunia 1993 di Stuttgart, Jerman dan 10,000m (29:30.19s) di Sukan Komanwel Kanada 1994 dilihat berpotensi untuk terus kekal berikutan negara ketandusan atlit jarak jauh sepertinya.

NUR Herman Majid beraksi kemas untuk mengatasi lawan dalam acara 110 meter lari berpagar. - Foto NSTP
NUR Herman Majid beraksi kemas untuk mengatasi lawan dalam acara 110 meter lari berpagar. - Foto NSTP

Latihan sepanjang tahun

Rama juga boleh berbangga kerana masih memegang rekod Sukan Sea acara 5,000m yang dicipta pada temasya di Singapura (14:08.97s) pada 1993 masih terus bertahan sehingga kini.

Antara rahsia besar di sebalik kejayaan Rama ialah beliau tidak pernah memandang rendah keupayaan atlet dari negara lain dan berlatih 365 hari dalam tempoh setahun tanpa terlepas walau sehari pun demi mengejar impiannya.

Bagaimanapun, Rama tetap terkilan kerana gagal melengkapkan sasaran 10 emas secara berturut-turut dalam dua acara 5,000m dan 10,000m yang mula dikuasainya sejak 1993 hingga 1999 kerana mengalami kecederaan menjelang Sukan SEA 2001.

Pencapaian demi pencapaian dicapai membolehkan Rama dipilih selaku penerima Anugerah Olahragawan Johor, 1989, 1990, 1993 dan 1994 serta Olahragawan Kebangsaan 1993.

Sementara itu, nama Nur Herman Majid, 51, bukan asing bagi peminat sukan olahraga Malaysia kerana beliau pernah bergelar jaguh lompat pagar selama hampir sedekad ketika era kegemilangannya dari tahun 1989 hingga 2001.

Kehebatan Nur Herman selaku jaguh acara larian 110 meter (m) berpagar sukar dicari ganti sehingga ke hari ini.

Malah, Nur Herman pernah menjadi pemegang rekod kebangsaan dalam acara lari 110m berpagar selama 23 tahun selepas beliau berjaya menciptanya di Sukan Asia Hiroshima, Jepun, pada 15 Oktober 1994.

Rekod milik Nur Herman iaitu 13.73 saat (s) hanya berjaya dipadamkan oleh atlet muda dari Sabah, Rayzam Shah Wan Sofian yang mencatatkan masa 13.64s ketika mewakili Malaysia di Kejohanan Olahraga B&S Kurpfalz Gala 2017 di Weinheim, Jerman, Mei lalu.

Nur Herman adalah antara atlit yang terbabit dalam semua kejohanan sukan peringkat dunia seperti Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan Sea serta kejohanan kebangsaan sepanjang kariernya bermula 1989 hingga bersara 2001.

Dalam jangka masa itu dia pernah menyertai dua sukan Olimpik iaitu di Barcelona, Sepanyol (1992) dan Atlanta, Amerika syarikat 1996).

M Ramachandran, pemegang rekod kebangsaan dan Sukan SEA bagi acara lari jarak jauh 5,000 meter.
M Ramachandran, pemegang rekod kebangsaan dan Sukan SEA bagi acara lari jarak jauh 5,000 meter.

Tak lupa jasa

Beliau juga antara atlit paling banyak menyertai Sukan SEA iaitu di Manila pada 1991, Singapura (1993), Chiang Mai, (1995), Jakarta (1997), Brunei (1999) dan Kuala Lumpur pada 2001.

Olahragawan 1994 itu dianggap legenda 110 meter lari berpagar - dan sehingga kini belum ada calon baru yang dilihat mampu mengisi kekosongan ditinggalkan atau menghampiri pencapaiannya.

Di zaman kemuncaknya dia pernah dinobatkan sebagai atlet pertama terpantas di Asia Tenggara berlari bawah 14 saat dengan catatan 13.37 saat ketika Sukan Asia di Hiroshima, Jepun pada 1994 di mana dia berjaya meraih gangsa.

Nur Herman juga atlit pertama negara memenangi pingat emas dalam enam penyertaan di Sukan SEA sekali gus mencatat sejarah kejohanan enam kali berturut-turut.

Dalam meniti kejayaan sebagai atlit berpagar, dia tidak pernah melupakan individu yang banyak berjasa dan memberi dorongan serta tunjuk ajar kepadanya termasuk jurulatih dari China yang digelarnya Prof Song, bekas atlit kebangsaan J V Jayan dan Hanafiah Nasir.

NUR Herman (kanan) atlit pertama negara menangi pingat emas dalam enam penyertaan di Sukan SEA.
NUR Herman (kanan) atlit pertama negara menangi pingat emas dalam enam penyertaan di Sukan SEA.

Profil:

  • Nama: M Ramachandran
  • Tarikh lahir: 9 April 1966
  • Asal: Muar, Johor.
  • Adik beradik: anak ketujuh daripada sembilan beradik
  • Sukan: Olahraga (jarak jauh dan sederhana)
  • Acara: 5,000m dan 10,000m
  • Pencapaian:
    • 1987 - 2000 juara kebangsaan acara 5,000m dan 10,000m
    • 1989 - perak dalam acara 5,000m dan 1,500m Sukan SEA Kuala Lumpur
    • 1993 - 1995 - juara kebangsaan 1,500m
    • 1993 - perak acara 10,000m Kejohanan Padang & Balapan Asia 1993
    • 1993 - emas acara 5,000m dan 10,000m Sukan SEA Singapura
    • 1995 - emas acara 5,000m dan 10,000m Sukan SEA Chiang Mai
    • 1997 - emas acara 5,000m dan 10,000m Sukan SEA Jakarta

  • Nama: Nur Herman Majid
  • Tarikh lahir: 2 Ogos 1969 (48 tahun)
  • Asal: Singapura.

Berita Harian X