Ahad, 16 Julai 2017 | 12:02am

Beralih kerja kerana seronok, puas

SITI Balqish melayan tetamu yang ingin daftar masuk di Ombak Dive Resort.
SITI Balqish melayan tetamu yang ingin daftar masuk di Ombak Dive Resort.

WALAUPUN memiliki kelulusan kejuruteraan elektrik dari sebuah universiti di England, tetapi hati wanita ini sudah terpaut untuk bekerja di pulau peranginan popular di Terengganu.

Meninggalkan kerjaya asalnya sebagai pengurus projek yang disandang selama lima tahun di sebuah syarikat perusahaan automotif di Kuala Lumpur, Siti Balqish Sabar beralih angin menjadi pengurus resort sahaja di Pulau Perhentian.

Tiada pengalaman dalam pengurusan resort, dia sanggup bermula dari bawah dengan memulakan kerja mengemas bilik (house keeping),

Siti Balqish juga tidak kisah menghabiskan masa bersama-sama kakitangannya sehingga jam 2 pagi bagi memastikan operasi resort yang diuruskan dalam keadaan terbaik.

Apa yang penting, dia memilih untuk bekerja di resort di Pulau Perhentian kerana mahu berkongsi keseronokan dengan pelancong atau pengunjung di pulau itu.

Setiap hari boleh menikmati pemandangan laut mendamaikan, tiupan bayu samudera mengasyikkan dan mendengar deruan ombak yang menghiburkan halwa telinga.

Namun, di sebalik keseronokan bekerja di pulau peranginan terkenal, dia menghadapi tanggungjawab yang mencabar dan memerlukan kesabaran apabila berhadapan dengan kerenah pelanggan.

Peralihan kerjaya yang dilakukan memberi kepuasan apatah lagi dia sendiri sangat gemarkan suasana laut yang lebih tenang berbanding kesibukan bandar.

"Bukan mudah beralih kerja dan sebagai permulaan, saya tidak meletakkan diri sebagai pengurus resort sebaliknya belajar daripada bawah termasuklah melakukan kerja 'housekeeping' iaitu mengemas bilik penginap.

"Mula-mula memang susah, namun lama-kelamaan ia menjadi biasa kerana rutin kerjanya bukan sekadar menukar cadar dan mencuci tandas dilakukan setiap hari.

"Bermula dengan 10 kakitangan sahaja, kini terdapat 40 staf yang sama-sama membantu memastikan aktiviti dan perjalanan resort lancar," katanya.

SITI Balqish (dua dari kanan) berbincang bersama kakitangan bagi memastikan rutin harian berjalan lancar.
SITI Balqish (dua dari kanan) berbincang bersama kakitangan bagi memastikan rutin harian berjalan lancar.

Terbuka dengan kakitangan

Siti Balqish berkata, sikap sabar adalah elemen utama yang diterapkan dalam diri bagi memastikan segala konflik atau isu yang timbul dapat diselesaikan secara baik.

"Memang banyak pengalaman tatkala berdepan dengan pelanggan namun saya banyakkan bersabar. Ada yang mengadu tak puas hati dengan keadaan bilik, ada yang komen pasal makanan dan saya sendiri akan pastikan masalah itu dapat diatasi.

"Kita berurusan dengan pelanggan berbayar (paid customer) dan saya pasti setiap orang mahukan perkhidmatan terbaik semasa bercuti," katanya.

SITI Balqish (kanan) bersama pemilik Ombak Resort yang juga abang iparnya, Datuk Zulkifli Mohd Sharif (duduk) dan kakaknya, Datin Nur Salinda Sabar.
SITI Balqish (kanan) bersama pemilik Ombak Resort yang juga abang iparnya, Datuk Zulkifli Mohd Sharif (duduk) dan kakaknya, Datin Nur Salinda Sabar.

Kerja hingga jam 2 pagi

Siti Balqish mengakui dia perlu sentiasa aktif dan cergas bagi memastikan pengurusan resort lebih teratur.

Bermula seawal jam 7 pagi, tugasannya bermula dengan membuat pemeriksaan resort bagi memastikan persekitaran penginapan berada dalam keadaan bersih dan selamat.

"Saya selia perjalanan daftar masuk dan keluar dan akan berhenti rehat pada jam 2 petang. Selalunya saya gunakan masa ini untuk rehat sekejap atau ke 'gym' untuk bersenam," katanya.

Pada sebelah malam, dia akan ke restoran untuk memantau situasi dan membantu krew bertugas sehingga jam 2 pagi.

Rutin ini diulang setiap hari namun tidak pernah bosan kerana itu semua memberikan pengalaman baharu bagi dirinya.

SITI Balqish ketika bermain ski di luar negara.
SITI Balqish ketika bermain ski di luar negara.

Hobi menyelam, bermain ski

Bertugas dan tinggal di pulau memberi peluang kepada Siti Balqis untuk melakukan aktiviti laut apabila ada waktu terluang.

"Waktu lapang dihabiskan dengan menyelam malah saya sendiri memiliki lesen penyelia menyelam (dive master) Persatuan Profesional Jurulatih Selam Skuba (PADI). Saya akan menyelam sebagai aktiviti untuk tenangkan diri," katanya.

Apabila tiba waktu monsun yang bermula pada hujung tahun, Balqish akan kembali ke Kuala Lumpur.

Cuti yang agak panjang juga digunakan sebaik-baiknya untuk melakukan aktiviti sukan yang digemari iaitu bermain ski.

Beliau bersama keluarganya sudah bermain ski di Zermatt, Switzerland, Mount Yochi dan Grand Hirafu di Hokkaido, Jepun dan Meribel Mottaret di Perancis.

"Ini adalah antara aktiviti yang digemari semasa menuntut di United Kingdom. Saya gemarkan aktiviti yang mencabar untuk menguji kemampuan diri," katanya. 

SITI Balqish ketika bermain ski di luar negara.
SITI Balqish ketika bermain ski di luar negara.

PROFIL : Siti Balqish Sabar
Asal: Kuala Lumpur
Umur: 31
Pendidikan: Ijazah Kejuruteraan Elektrikal Universiti Staffordshire, United Kingdom.
Kerjaya: Pengurus Resort.
Hobi: Menyelam, bermain ski dan mendaki.

Berita Harian X