Sabtu, 15 Julai 2017 | 12:14am
IKAN bilis mata biru dipanggil dengan nama berkenaan kerana memiliki mata berwarna biru dan berbanding ikan bilis biasa yang dijual sudah dikupas, ikan bilis mata biru kecil, tiada tulang dan perut.
IKAN bilis mata biru dipanggil dengan nama berkenaan kerana memiliki mata berwarna biru dan berbanding ikan bilis biasa yang dijual sudah dikupas, ikan bilis mata biru kecil, tiada tulang dan perut.

Ikan bilis bermata biru

-

KOTA KINABALU: Ikan bilis mata biru, kedengaran janggal tetapi bagi mereka yang sering membeli produk hasil laut di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu, memang tahu ikan bilis itu adalah antara produk istimewa serta sering menjadi pilihan pelanggan.

Hampir semua gerai di pasar terbabit menjual ikan bilis mata biru yang turut menjadi pilihan ramai termasuk pelancong dari Semenanjung, Sarawak dan Brunei untuk dibawa pulang sama ada bagi kegunaan sendiri atau dijadikan 'buah tangan' kepada rakan dan saudara-mara.

Ikan bilis jenis itu dipanggil dengan nama berkenaan kerana memiliki mata berwarna biru dan berbanding ikan bilis biasa yang dijual sudah dikupas, ikan bilis mata biru kecil, tiada tulang dan perut.

Sambil bergurau, peniaga, Suria Zakaria, 32, berkata bukan saja penduduk Sabah seperti kanak-kanak di Beaufort dan Putatan yang cerita mengenai mereka disiarkan di media kerana memiliki mata berwarna biru, malah ikan bilis juga tidak terkecuali.

"Kami di sini ada dengar mengenai beberapa penduduk Sabah bermata biru, tetapi kami pun ada ikan bilis bermata biru yang menjadi pilihan ramai. Sejak berniaga lebih 10 tahun lalu, saya memang sudah menjual ikan bilis mata biru. 

"Tidak dinafikan ada pelanggan pada mulanya terkejut melihat ikan bilis mata biru ini kerana tidak semua tempat ada menjual produk ini. Selain di Sabah, saya difahamkan ada juga di Semenanjung iaitu di Pulau Pangkor (Perak) dan Langkawi," katanya kepada BH.

SURIA Zakaria menunjukkan ikan bilis mata biru yang boleh didapati di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah
SURIA Zakaria menunjukkan ikan bilis mata biru yang boleh didapati di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Ikan bilis mata biru boleh diperoleh dalam dua gred iaitu A dan B dengan lazimnya gred A dijual pada harga RM40 sekilogram, manakala gred B (RM35 sekilogram), namun harga bergantung kepada musim.

Suria berkata, ikan bilis mata biru yang bersaiz kecil ini menjadi pilihan ramai kerana ia kurang masin.

"Saya mendapat bekalan ikan bilis mata biru ini dari Tawau dan Pitas, ada juga dari Papar tetapi tidak berapa banyak. Ramai yang suka ikan bilis mata biru untuk dicampurkan dengan kerabu mangga atau bubur.

"Selain penduduk tempatan, saya menerima tempahan ikan bilis ini dari Semenanjung," katanya sambil menambah kebanyakan pembeli adalah dari Semenanjung.

Beliau berkata, beliau sendiri tiada jawapan dan tidak tahu kenapa ikan bilis kecil itu bermata biru.

"Ada juga yang bertanya kenapa ikan bilis itu bermata biru, malah ada juga yang terkejut melihatnya. Bagaimanapun, saya sendiri tiada jawapan," katanya sambil menambah ada juga yang tidak menggemari ikan bilis mata biru kerana masih ada kepala.

Pembeli, Rauzan Esa, 32, yang berasal dari Johor dan bekerja di Sabah, berkata ikan bilis mata biru menjadi bekalan penting untuk dibawa balik ke Semenanjung.

"Ikan bilis mata biru ini ada di Semenanjung tetapi harganya agak mahal. Oleh sebab itu, saya selalu beli untuk dibawa balik ke Semenanjung. Saya juga suka menggunakan ikan bilis ini sebagai sambal nasi lemak kerana saiznya yang kecil, selain ranggup apabila digoreng," katanya.

IKAN bilis mata biru boleh diperoleh dalam dua gred iaitu A dan B dengan lazimnya gred A dijual pada harga RM40 sekilogram, manakala gred B (RM35 sekilogram), namun harga bergantung kepada musim. - Foto Malai Rosmah Tuah
IKAN bilis mata biru boleh diperoleh dalam dua gred iaitu A dan B dengan lazimnya gred A dijual pada harga RM40 sekilogram, manakala gred B (RM35 sekilogram), namun harga bergantung kepada musim. - Foto Malai Rosmah Tuah

Sementara itu, Pensyarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Muhammad Ali Syed Hussein, berkata berdasarkan kajian setakat ini ada kemungkinan ikan bilis mata biru dengan ikan bilis besar atau yang dikopek adalah spesies sama.

"Ada yang menyatakan spesies ikan bilis yang sering didapati di Kota Marudu adalah Stolephorus baganensis, kemungkinan juga spesies bilis mata biru adalah anak kepada spesies ini.

"Dalam genus (kelompok) Stolephorus ada 20 spesies ikan bilis, namun kita belum kenal pasti secara tepat yang mana sering didapati di Sabah," katanya.

PASAR Ikan Masin Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah
PASAR Ikan Masin Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

INFO

  • Ikan bilis mata biru boleh diperoleh dalam dua gred iaitu A dan B
  • RM35 hingga RM40 sekilogram
  • Bekalan diperoleh dari Tawau dan Pitas
  • Dijual di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu
Berita Harian X