Selasa, 4 Julai 2017 | 12:04am

Tarikan busana tradisional

KEINDAHAN dan keunikan pakaian tradisional Melayu memang tidak dapat disangkal, malah ia mudah dipadankan untuk pelbagai acara lebih lagi menjelang Syawal.

Kehalusan rekaan menggunakan fabrik pilihan dengan mainan warna, perincian jahitan tangan menjadikan, pemakaian busana tradisional menyerlahkan lagi kelembutan dan kecantikan imej wanita.

Menyedari tarikan busana tradisional, Abbassiah Collection Boutique menampilkan koleksi kebaya Riau dengan pelbagai sentuhan rekaan moden selain rona menarik.

Antara koleksi menarik diketengahkan adalah sentuhan Kebaya Meryam menampilkan rekaan gabungan kurung dan kebaya Riau menawan pandangan.

MAINAN warna, perincian jahitan tangan serlah imej wanita. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Fabrik eksklusif

Pemilik bersama butik Abbasiah, Nor Azwa Abas, 34, berkata setiap rekaan dihasilkan menitik beratkan potongan badan.

Katanya, koleksi diketengahkan turut mengutamakan pemilihan fabrik eksklusif seperti Valentino dan songket yang ada lima warna pilihan, sekali gus membolehkan wanita tampil cantik selesa sepanjang hari.

"Koleksi ini adalah gandingan elemen potongan klasik dan moden, diterapkan pada bahagian lengannya yang kembang.

Perincian manik pada bahagian baju juga menyerlahkan lagi nilai klasik pada koleksi tradisional ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran butik Abbassiah Collection Boutique, di Shah Alam, baru-baru ini.

Gaya sedondon

Nor Azwa berkata, pelbagai koleksi fesyen tradisional dengan suntikan warna polos, terang dan kontemporari turut ditampilkan.

Katanya, kemeriahan musim perayaan kali ini diserikan lagi dengan pemilihan warna dan corak rekaan lebih menonjol pada koleksi baju kurung moden diketengahkan jenama itu.

"Setiap koleksi perayaan diketengahkan mempunyai nilai rekaan unik dan tersendiri mengikut cita rasa moden.

"Terdapat juga koleksi persalinan sedondon ibu dan anak. Malah, buat julung kalinya, kami menawarkan rekaan tradisional bermotif cetakan geometri. Ia sekali gus, menyerikan lagi penampilan ibu dan anak mahu kelihatan sedondon menjelang musim perayaan kali ini," katanya.

Info
Koleksi kebarung Meryam

  • Warna pilihan: Merah gelap, hijau, biru tua, keemasan dan coklat.
  • Harga: RM189 sehelai.
  • Harga set ibu dan anak: RM269
  • Butik Abassiyah turut bekerjasama dengan jenama lain, termasuk Wawa Herdream by Wawa Halim, Busana Anja dan Mama Deela.
Berita Harian X