Ahad, 2 Julai 2017 | 12:07am

Nadia Brian mahu jadi primadona

KUALA LUMPUR: Dalam kelompok bakat baharu yang hadir mewarnai persada seni, tidak keterlaluan andai dikatakan figura ini antara yang menonjol dan memiliki pakej lengkap untuk menarik khalayak mengenali siapa dirinya.

Mempertaruhkan bakat lakonan semula jadi, Nadia Brian yang mula menyapa hati peminat menerusi drama Akulah Balqis bijak mengatur langkah merencana kerjaya seninya sejak dua tahun lalu.

Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi bersyukur kerana graf kerjaya seninya semakin berkembang apabila bakatnya turut diuji di layar perak. Bagi Nadia, semua itu digenggam hasil kerja keras selepas memutuskan kerjaya seni sebagai punca rezeki.

"Ketika mula melangkahkan kaki, ramai yang mengingatkan saya, menceburi kerjaya seni bukan hanya untuk mengejar populariti semata-mata. Ia menuntut pengorbanan yang luar biasa, selain kerja keras kerana tuah tidak datang bergolek.

PELAKON, Nadia Brian. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Nadia Brian. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya memilih kerjaya seni kerana minat yang mendalam. Pastinya, saya ingin melihat usaha saya membuahkan hasil dan bakat saya diperhatikan, tidak hanya dalam kalangan peminat tetapi juga penggiat seni," katanya.

Akur setiap insan seni mempunyai impian yang ingin dicapai, pelakon berusia 26 tahun ini juga tidak terkecuali dan dia berharap, bakatnya akan mampu menjulang namanya sebagai primadona suatu hari nanti.

"Itu memang impian saya dan saya sedar, bukan mudah untuk sampai ke tahap itu. Dalam hidup ini, tiada perkara yang mustahil. Saya perlu berusaha keras dan memperbaiki diri kerana hanya dari situ, bakat saya akan menjadi sebutan," kata anak kelahiran Perlis ini.

NADIA bersyukur kerjaya seninya semakin berkembang apabila bakatnya diuji di layar perak. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
NADIA bersyukur kerjaya seninya semakin berkembang apabila bakatnya diuji di layar perak. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Elak bersikap tamak

Nadia sedar, dalam meniti perjalanan, dirinya juga tidak terlepas daripada dugaan dan ujian. Disebabkan itu, Nadia sering mengingatkan diri supaya tidak hanyut dalam arus populariti, sebaliknya sentiasa memastikan mutu lakonannya berada pada tahap terbaik.

Baginya, melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin akan memberinya kepuasan maksimum kerana Nadia tidak mahu namanya menjadi sebutan gara-gara terpalit dalam kontroversi yang melemaskan.

"Saya perlu memastikan aturan perjalanan kerjaya seni saya kemas dan tidak cacamarba. Saya tidak mahu tamak, malah setiap tawaran yang diterima, saya akan pastikan mampu memberikan komitmen terbaik," katanya.

NADIA berharap bakatnya akan mampu menjulang namanya sebagai primadona suatu hari nanti. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
NADIA berharap bakatnya akan mampu menjulang namanya sebagai primadona suatu hari nanti. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Nadia berkata, dia terharu dan bersyukur apabila niat mahu membantu keluarga terlaksana apabila menerima pelbagai tawaran yang mengujakan. Melihat kehidupan keluarganya yang semakin selesa memberikan Nadia kepuasan tersendiri.

"Kerjaya seni sudah semakin sebati dalam diri. Jika nanti ditakdirkan saya tidak lagi aktif di depan kamera, saya akan tetap di sini melakukan kerja di balik tabir. Saya mahu terus dekat dengan seni kerana ini dunia saya," katanya.

Luang masa bersama keluarga

Nadia mengakui, sepanjang Ramadan lalu, dia dihambat kesibukan apabila beraksi di dua lokasi filem iaitu Mak dan Blok 404. Lantaran, Syawal yang hadir memberinya ruang terbaik untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

Pelakon drama My Sweet Lavender yang ditayangkan di TV9 ini berkata, 1 Syawal lalu diraikan di rumah kakaknya di Seri Kembangan, Selangor.

SYAWAL yang hadir memberi Nadia ruang terbaik untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
SYAWAL yang hadir memberi Nadia ruang terbaik untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Kakak saya baru melahirkan anak, jadi kami sekeluarga membuat keputusan menyambut Syawal di rumahnya. Aidilfitri ini lebih meriah dengan kehadiran anak buah baharu saya. Alhamdulillah, saya juga gembira kerana semakin ramai kenalan.

"Menerima pelbagai maklum balas daripada mereka ketika bertandang pada hari raya, membuatkan saya semakin berkobar meneruskan langkah sebagai insan seni. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong dan ingin melihat saya terus berjaya," katanya.

INFO

* Nama sebenar, Nadia Najwa Mohamed Rashidi.

* Lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media.

* Sudah berlakon lebih 10 drama dan telefilem.

* Bakal muncul dalam dua filem iaitu Mak dan Blok 404.

* Pernah muncul dalam teater Bikers Kental dan Mak Cun D'Walei.

* Pernah mendapat pendidikan dalam bidang Seni Teater.

Berita Harian X