Sabtu, 1 Julai 2017 | 12:03am

Kek buah musim panas mudah disediakan

CEF Nor Haslinda Abdul Rahman menunjukkan Summer Fruit Cake yang dihasilkannya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
CEF Nor Haslinda Abdul Rahman menunjukkan Summer Fruit Cake yang dihasilkannya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

SELAIN kuih muih tradisi, kek adalah antara menu yang menjadi pilihan di kebanyakan rumah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Mungkin bagi sesetengah suri rumah, tidak lengkap sambutan lebaran tanpa hidangan kek, tidak kira apa juga kek yang menjadi pilihan.

Minggu ini, Aroma Kulinari menampilkan hidangan kek buah-buahan, Summer Fruit Cake yang disediakan oleh Cef Nor Haslinda Abdul Rahman, dari Butterlips Rock.

Nor Haslinda berkata, kek ini antara yang paling mendapat sambutan setiap kali menjelang hari raya, hingga membuatkan beliau tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

"Kek ini disukai ramai kerana rasa buah-buahan yang segar selain ia tidak terlalu manis kerana kemanisan adalah daripada buah-buahan segar yang digunakan.

"Kek ini juga cukup sedap dihidangkan ketika masih panas bersama sos vanila jika ada yang mahu menikmatinya dengan cara berkenaan," katanya kepada Aura.

Pikat selera

Sesuatu berbeza untuk dihidangkan, kek ini bukan saja mudah dan ringkas tetapi mampu memikat selera sesiapa saja terutama mereka yang gemarkan buah-buahan.

Berlainan dengan kek buah yang menggunakan buah-buahan kering, kek ini menggunakan buah-buahan segar, menambahkan lagi keenakan dalam hidangan ini.

Anda boleh menggunakan buah-buahan segar seperti strawberi, rasberi, pisang, pic, ceri, epal, nanas, pir dan oren selain buah-buahan dalam tin.

Bahan-bahan:

BAHAN-BAHAN untuk menghasilkan Summer Fruit Cake. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
BAHAN-BAHAN untuk menghasilkan Summer Fruit Cake. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

100gram (g) mentega tanpa garam

180g gula kastor

50g krim masam / yogourt rendah lemak

3 biji telur

1 sudu teh esen vanila

1 sudu makan zest lemon/orange

210g tepung gandum serba guna

1 sudu teh serbuk penaik

500g campuran buah-buahan segar atau dalam tin

Cara membuat:

1. Pukul mentega, gula dan krim masam hingga ringan dan gebu.

2. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan pukul hingga sebati.

3. Masukkan vanila.

4. Campurkan zest lemon ke dalam tepung yang sudah diayak bersama serbuk penaik.

5. Masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit. Kacau rata.

6. Tuangkan adunan dalam tin pembakar bulat berukuran 9". Susun buah-buahan di atas adunan, pastikan anda tidak menekannya.

7. Bakar dalam suhu 180 darjah Celsius selama 50 hingga 60 minit.

8. Sejukkan kek seketika. Taburkan gula aising di atas. Siap untuk dihidangkan.

Tips:

* Tutup bahagian atas kek dengan kertas aluminium kira-kira 15 minit sebelum kek masak.

* Ini untuk mengelakkan bahagian kek terlalu keperangan.

* Jika anda menggunakan buah-buahan dalam tin basuh, potong dan keringkan dulu buah berkenaan.

* Taburkan sedikit gula aising pada buah-buahan berkenaan.

Berita Harian X