Jumaat, 30 Jun 2017 | 12:04am

Amanah wajib disempurnakan

AMANAH sesama manusia ialah tidak melakukan penyelewengan, menyimpan rahsia serta memelihara hubungan dalam keluarga, masyarakat dan pemerintah. - Foto hiasan
AMANAH sesama manusia ialah tidak melakukan penyelewengan, menyimpan rahsia serta memelihara hubungan dalam keluarga, masyarakat dan pemerintah. - Foto hiasan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia,

(Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." (Surah an-Nisa, ayat 58)

Allah SWT menerangkan pahala yang besar bagi orang beriman dan beramal salih antara yang termasuk dalam golongan itu ialah orang menunaikan amanah serta menjalankan hukum dengan adil.

Pada hari pembukaan Makkah, Nabi SAW masuk ke dalam Masjidil Haram setelah selesai mengerjakan tawaf dan meminta kunci Kaabah yang diamanahkan kepada Uthman Ibnu Abu Talhah sebagai pemegangnya sejak zaman jahiliah.

Beliau yang pada ketika itu masih kafir telah memberinya kepada Nabi SAW, lalu Baginda membuka pintu Kaabah dan masuk ke dalamnya sambil membaca: "Tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, Maha Esa-Nya, Maha Benar janji-Nya Dia menolong hamba-Nya dan mengalahkan tentera bersekutu dengan keesaan-Nya."

Kemudian Nabi SAW duduk di dalam masjid lalu datang sepupunya, Ali Ibnu Abu Talib dan meminta kunci Kaabah yang ada pada tangan Nabi SAW seraya berkata: "Berikan saya tugas sebagai sidanah (penjaga pintu Kaabah) dan siqayah (penjaga telaga Zamzam), iaitu tugas yang saya bersedia memegangnya. Nabi tidak memberi kepadanya sebaliknya bertanya: Di mana Uthman? Sila serah kepadanya kunci yang dijaganya. Hari ini hari kebajikan dan kesetiaan."

Tiga kategori amanah

Walaupun sebab nuzul ayat khusus mengenai penyerahan kunci Kaabah kepada Uthman Ibnu Talhah, mereka berpendapat bahawa pengajaran ayat berpandukan lafaznya yang umum bukan kepada sebabnya yang khusus.

Amanah dalam Islam ialah kewajipan yang diamanahkan Allah SWT kepada manusia supaya melaksanakannya. Amanah itu pernah ditawar kepada langit, bumi serta bukit-bukau, tetapi semuanya menolak.

Umumnya, amanah ada beberapa kategori iaitu amanah hamba kepada Tuhannya, sesama manusia dan diri sendiri. Amanah hamba terhadap Allah SWT adalah mematuhi apa yang diperintah serta menjauhi segala larangan, selain melakukan perkara mendekatkan diri kepada-Nya.

Amanah sesama manusia ialah tidak melakukan penyelewengan, menyimpan rahsia serta memelihara hubungan dalam keluarga, masyarakat dan pemerintah. Sementara amanah kepada diri memastikan diri tidak terbabit dalam perkara yang merugikan di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya, Allah SWT memerintahkan kita menyerahkan segala amanah kepada orang yang berhak menerimanya. Terdapat dua perkara yang menjadi asas kepada kebaikan dalam kehidupan ini iaitu amanah dan ikhlas.

Jangan khianat kepercayaan

Kedua-dua sifat itu perlu bersepadu dalam diri kerana seorang yang melakukan kerja bukan untuk mengejar keuntungan semata-mata tetapi melihat pekerjaan sebagai satu amanah sewajarnya ditunaikan sebaik mungkin.

Amanah menuntut pihak terbabit memilih calon terbaik untuk mengendalikan sesuatu urusan. Jika pemilihan dibuat tanpa berdasarkan prinsip ini, maka itu satu pengkhianatan yang tidak diredai Allah dan rasul-Nya.

Lazimnya keadilan tidak wujud dalam sebuah masyarakat yang tidak beramanah. Mungkin bagi maksud ini Allah SWT seiringkan perintah beramanah dengan kewajipan berlaku adil.

Amanah wajib disempurnakan kepada yang berhak sama ada Muslim atau bukan Muslim. Jangan sekali-kali menggelapkan harta yang diamanahkan dan mencabuli harta atau maruah orang lain. Sebaliknya, kembalikan hak kepada yang berhak, bertanggungjawab pada semua urusan diamanahkan serta insaf bahawa setiap amanah akan disoal di hadapan Allah SWT.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X