Rabu, 28 Jun 2017 | 12:00am
SHEILA mengutamakan persiapan untuk konsert berskala mega yang bakal berlangsung di Stadium Negara pada 5 Ogos depan. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
SHEILA mengutamakan persiapan untuk konsert berskala mega yang bakal berlangsung di Stadium Negara pada 5 Ogos depan. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
SHEILA bersama suaminya, Datuk Acis (kanan) dan anak-anak mereka (dari kiri), Wan Nur Khaleda, Khadeja Zaireen Murshim, Megat Abdul Majid dan Khalifa Laila Murshim. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
SHEILA bersama suaminya, Datuk Acis (kanan) dan anak-anak mereka (dari kiri), Wan Nur Khaleda, Khadeja Zaireen Murshim, Megat Abdul Majid dan Khalifa Laila Murshim. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Sheila berlatih untuk konsert sejak Ramadan

DALAM kesibukan meraikan Aidilfitri, ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid tetap mengutamakan persiapan untuk konsert berskala mega yang bakal berlangsung di Stadium Negara pada 5 Ogos depan.

Malah, pada bulan puasa lalu, penyanyi berusia 52 tahun ini sudah pun menjalani latihan untuk memantapkan stamina.

"Sejak bulan Ramadan lagi saya sudah mula berlatih. Bimbang juga kalau lama cuti sebab konsert pun tak lama lagi.

"Senarai lagu pun saya sudah serahkan kepada pengarah muzik, Mac Chew. Selepas cuti raya, saya akan sambung berlatih hinggalah tiba hari yang dijanjikan," katanya teruja.

Menyambut Aidilfitri bersama keluarga

Mengulas mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Sheila berkata, biarpun dunia semakin moden dan dilengkapi pelbagai teknologi, tradisi kunjung-mengunjung dan salam-bersalaman tanda hormat si muda kepada yang tua pada Aidilfitri tidak pernah dilupakan.

RATU jazz negara, Datuk Sheila Majid. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
RATU jazz negara, Datuk Sheila Majid. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Perkara itu yang sering diterapkan Sheila kepada anaknya, Wan Nur Khaleda atau Kayda, Megat Abdul Majid Aziz, Khadeja Zaireen Murshim dan Khalefa Laila Murshim.

Dibesarkan dengan amalan mulia iaitu saling menghormati dan berkunjung ke rumah saudara mara di hari lebaran, Sheila mahu anak-anaknya bersikap begitu. Justeru, setiap kali Aidilfitri bertandang, budaya bersalaman, memohon maaf dan ziarah menziarahi amat dititikberatkan si pendendang lagu Sinaran ini.

"Biasanya pada hari raya pertama, semua adik beradik berkumpul di rumah saya. Ini kerana ibu tinggal bersama saya. Di sinilah kami bermaaf-maafan. Mereka yang muda kenalah mohon maaf pada yang tua. Kalau kita lihat sekarang ini, budaya bersalaman ini bagaikan terhakis.

"Generasi muda ramai yang tak ambil kisah nak pergi beraya ke rumah saudara mara kerana sibuk dengan gajet.

"Saya selalu pesan pada anak-anak dan anak-anak saudara supaya jangan dilupakan budaya ini. Kalau ada tetamu, pergi salam. Mereka juga kena ikut beraya ke rumah saudara mara. Tak mahulah nanti berlaku kejadian tak kenal saudara sendiri jika terserempak di tengah jalan," katanya kepada BH Plus.

Dilahirkan dalam keluarga besar, Sheila mengaku seronok terutama apabila malam menjelang Aidilfitri. Ini kerana pada hari itulah mereka adik beradik akan bergotong royong membuat persiapan raya.

BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

"Walaupun kami tinggal di Kuala Lumpur, sambutan hari raya tetap meriah. Siapa kata raya di ibu kota tidak semeriah di kampung?

"Bagi saya apa yang penting dapat kumpul dengan adik-beradik, itu sudah cukup menggembirakan. Selalunya, pada malam raya kami akan bergotong royong memasak, mengemas rumah dan pasang langsir.

"Usai kerja, masing-masing akan pulang ke rumah dan esok pagi datang semula. Saya pula, biasanya bila semua sudah berkumpul dan selesai bermaafan, barulah kami bertolak ke rumah keluarga sebelah suami untuk beraya.

"Keesokan harinya pula, kami akan konvoi pergi ke rumah bapa dan emak saudara. Itulah rutin kami setiap tahun," cerita ibu kepada empat orang cahaya mata ini.

Pakai baju sedondon

Menariknya keluarga ini, kata Sheila, setiap tahun mereka akan mengenakan pakaian sedondon.

SHEILA bersama suaminya, Datuk Acis. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
SHEILA bersama suaminya, Datuk Acis. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

"Tahun lalu, keluarga saya mengenakan pakaian warna aqua marine manakala tahun ini, rona merah menjadi pilihan. Ini sejajar dengan kemunculan album baru saya, Boneka yang bertemakan merah. Tak kisahlah bagaimana Rekaannya, asalkan warna yang dipilih adalah merah.

"Senang bila pakai baju warna sama sebab kalau pergi beraya, kita boleh kenal mana satu anggota keluarga. Kalau nampak warna merah itu, memang sah anak-anak buah saya," katanya sambil tertawa.

Sebagai bukti, untuk sesi fotografi yang diadakan di kediamannya itu, Sheila meminta penulis menyediakan pakaian berwarna merah untuk dirinya sekeluarga. Riuh rendah lah juga rumah banglo yang terletak di tepi jalan itu dengan suara Sheila yang mahu memastikan anak-anaknya termasuk suami siap berpakaian.

"Macam inilah situasi saya bila pagi raya. Bukan saja melayan kerenah anak-anak tetapi juga suami," katanya sambil membetulkan kain sampin si suami, Datuk Acis yang kelihatan kacak bergaya mengenakan baju Melayu rekaan Salikin Sidek.

INFO

  • Sheila dan Acis atau nama sebenarnya, Hasridz Hashim mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 2003.
  • Hasil perkongsian hidup selama 14 tahun, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Khadeja Zaireen Murshim dan Khalefa Laila Murshim.
  • Wan Nur Khaleda atau Kayda dan Megat Abdul Majid Aziz adalah anak hasil perkahwinan pertama Sheila.
  • Penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Jazz ini baru saja melancarkan album berjudul Boneka, April lalu.
  • Sheila bakal muncul dengan konsert berskala mega, Sheila Majid : The Concert Kuala Lumpur 2017 yang akan diadakan di Stadium Negara pada 5 Ogos depan.
Berita Harian X