Jumaat, 16 Jun 2017 | 12:14am
KASIM menjual tempe pada harga 10 sen di Pasar Borong Batu Berendam, Melaka. - Foto Nazri Abu Bakar
KASIM menjual tempe pada harga 10 sen di Pasar Borong Batu Berendam, Melaka. - Foto Nazri Abu Bakar
ORANG ramai mengunjungi gerai Kasim di Pasar Borong Batu Berendam, Melaka. - Foto Nazri Abu Bakar
ORANG ramai mengunjungi gerai Kasim di Pasar Borong Batu Berendam, Melaka. - Foto Nazri Abu Bakar
KEBIASAANNYA tempe akan habis terjual sekitar kira-kira jam 10 pagi, terutama ketika hujung minggu dan cuti umum. - Foto Nazri Abu Bakar
KEBIASAANNYA tempe akan habis terjual sekitar kira-kira jam 10 pagi, terutama ketika hujung minggu dan cuti umum. - Foto Nazri Abu Bakar

Tempe 10 sen

MELAKA: Dalam keadaan ekonomi masa kini, siapa sangka syiling 10 sen masih bernilai dan mampu membeli sekeping tempe mentah.

Hakikatnya, itulah harga yang ditetapkan pengusaha tempe kecil-kecilan, Kasim Said, 67, dari Telok Mas, yang menjual tempe mentah dibalut surat khabar beralaskan kertas minyak bagi menggantikan daun pisang pada harga 10 sen sekeping.

Difahamkan, tempe bersaiz kira-kira 12 sentimeter x tujuh sentimeter itu dijual dengan harga 10 sen sejak lebih 30 tahun lalu dan tidak pernah dinaikkan harganya walaupun kos sara hidup berubah.

Selain Kasim, terdapat tiga peniaga lain yang turut menjual makanan sama pada harga 10 sen di Pasar Borong Batu Berendam, di sini, yang kebiasaannya akan habis terjual sekitar kira-kira jam 10 pagi, terutama ketika hujung minggu dan cuti umum.

Kebiasaan pelanggan makanan tradisional masyarakat Jawa berasaskan kacang soya itu membeli dengan kuantiti yang banyak untuk dihidangkan bersama keluarga atau jamuan kenduri.

KASIM menjual tempe mentah dibalut surat khabar beralaskan kertas minyak bagi menggantikan daun pisang pada harga 10 sen sekeping. - Foto Nazri Abu Bakar
KASIM menjual tempe mentah dibalut surat khabar beralaskan kertas minyak bagi menggantikan daun pisang pada harga 10 sen sekeping. - Foto Nazri Abu Bakar

Kasim ketika ditemui berkata, dia tidak menaikkan harga walaupun kos pembuatan makanan itu meningkat kerana mahu pelanggannya menikmati hidangan tempe tanpa membebankan mereka, terutama golongan berpendapatan rendah.

"Sambil dibantu isteri, Saripah Osman, 67, saya mampu menghasilkan kira-kira 1,000 keping tempe mentah sehari bagi bekalan di pasar borong berkenaan.

"Jika tempe habis terjual, barulah saya peroleh RM100 dan itu pun tidak ditolak modal dan kos pengangkutan," katanya hasil yang diperoleh itu digunakan untuk menyara tujuh anaknya yang kini sudah berkeluarga.

Mengikut kajian, tempe adalah makanan yang nampak ringan, tetapi hakikatnya kaya dengan pelbagai khasiat kesihatan.

Makan tempe membantu mengurangkan penyakit mencegah dan melegakan penyakit kronik seperti barah, diabetes dan jantung.

Makanan itu juga dikatakan dapat menyihatkan kulit, mungkin ada benarnya kerana kaya dengan mineral manganese yang menggalakkan pengeluaran kolagen sebagai komponen struktur kulit.

PEMBELI pandu lalu singgah di gerai tempe Kasim. - Foto Nazri Abu Bakar
PEMBELI pandu lalu singgah di gerai tempe Kasim. - Foto Nazri Abu Bakar

Kasim berkata, beliau mempelajari membuat makanan itu daripada adik iparnya yang kini tidak lagi mengusahakan perniagaan berkenaan disebabkan masalah kesihatan.

"Sambutan diterima amat menggalakkan, malah ada yang memborong apa yang kami jual, tidak kurang juga ada yang membeli hanya lima keping pada harga 50 sen saja," katanya.

Bagi Kasim, pendapatan yang diperoleh hasil jualan tempe sekadar membantunya untuk meneruskan perniagaan dan sara hidup tanpa pernah berasa jemu dalam perniagaan itu.

"Kebiasaan semua tempe yang dijual habis dibeli kerana harganya yang murah, selain keenakannya ketika digoreng atau masak sambal mahupun bahan tambahan masakan lontong dan cili pedas," katanya yang keluar dari rumah sekitar jam 6 pagi untuk menjual makanan itu.

Beliau juga tidak bercadang untuk menaikkan harga jualan makanan itu walaupun proses menyediakan tempe mengambil tempoh lebih tiga jam, selain perlu menjaga kebersihan dan penelitian jika mahu tempe yang dihasilkan bermutu tinggi, tidak mudah busuk dan paling penting, sedap dimakan.

Seorang pelanggan, Mai Surah Rosdi, 45, dari Bachang berkata harga tempe amat berpatutan menjadikan dia pelanggan tetap Kasim sejak lebih 10 tahun lalu.

MAI Surah Rosdi.
MAI Surah Rosdi.

"Selain harga, rasa tempe ini juga sama dan tidak pernah berubah. Walaupun menerima keuntungan yang amat minimum, mereka (peniaga tempe) masih kental berniaga makanan tradisional ini.

Seorang lagi pelanggan, Ng Kok Sen, 48, berkata tempe hasil buatan Kasim amat rangup selepas digoreng.

NG Kok Sen.
NG Kok Sen.

"Tempe bukan sekadar makanan bermusim, sebaliknya digemari ramai pada setiap waktu," katanya.

INFO
Kacang soya

Kacang soya mengandungi:

  • 40 peratus protein
  • 20 peratus lemak baik
  • 170 kalori bagi setiap 100 gram

Biji kacang soya mengandungi:

  • Sumber vitamin dan mineral
  • Vitamin B kompleks (folat, niasin, riboflavin dan thiamin)
  • Magnesium, fosforus, zat besi dan kalsium.

Manfaat kesihatan;

  • Mencegah barah
  • Menghilangkan gejala menopause
  • Mengurangkan risiko penyakit jantung
  • Menurunkan kolesterol
  • Mengurangi risiko osteoporosi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X