Isnin, 5 Jun 2017 | 12:02am

Karya Zulkifli Dahlan segar hingga kini

LAT (kiri) bersama Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad melawat pameran Bumi Larangan karya Zulkifli Dahlan, di Balai Seni Negara. - Foto Rohanis Shukri
LAT (kiri) bersama Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad melawat pameran Bumi Larangan karya Zulkifli Dahlan, di Balai Seni Negara. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Zulkifli Dahlan dikenali sebagai pelukis seni rupa moden Malaysia yang penting dan berpengaruh, selain menjadi antara pengasas kumpulan seniman di negara ini, iaitu Anak Alam.

Sayangnya Zulkifli meninggal dunia dalam usia 25 tahun pada 1977, tiga tahun selepas beliau muncul sebagai pemenang pertama Bakat Muda Sezaman (BMS).

Meskipun tidak meninggalkan jumlah karya yang banyak, beliau sentiasa diingati dengan keunikan lukisan yang dihasilkan. Realiti Berasingan: Satu Hari di Bumi Larangan dan Kedai-Kedai adalah antara karya beliau yang sering diulas serta diperdebatkan, selain turut diperkatakan di fakulti seni di seluruh negara.

Dua karya itu juga dianggap sebagai ikon penting dalam sejarah seni Malaysia, selain dilihat masih segar dan relevan sebagai karya kontemporari.

Kongsi kehebatan karya

Mengenang keunikan Zulkifli dan perlunya untuk berkongsi kehebatan karyanya, Balai Seni Negara di sini melancarkan pameran Bumi Larangan Zulkifli Dahlan yang bakal berlangsung sehingga 2 Julai ini.

Kuratornya, Nor Hanim Khairuddin, berkata pameran Bumi Larangan adalah sebahagian inisiatif untuk memperkenalkan semula karya Zulkifli yang dianggap penting dalam memperlihatkan gaya yang dibawanya sebagai pelukis 1970-an tetapi masih lagi relevan hari ini.

Zulkifli berkarya dalam pelbagai media. Selain lukisan, beliau turut menghasilkan arca dan seni cetakan tetapi lebih diingati dengan lukisan naif, surrealis dan neo-ekpresionisme.

Namun yang paling menonjol adalah kecenderungan Zulkifli bermain dengan imej karikatur.

Anggota awal Anak Alam

Dekad 1970-an yang menjadi latar dunia seni Zulkifli diketahui marak dengan semangat memberontak dan pencarian jadi diri, justeru karya beliau tampil sinis, tajam dan mungkin sesekali 'erotisisme' dengan watak telanjang yang berkeliaran dalam landskap kota.

Hal itu diakui sendiri oleh kartunis tanah air, Datuk Muhammad Nor Khalid atau Lat ketika melancarkan pameran berkenaan.

Lat berkata, Zulkifli atau akrab disapa Joo di kalangan rakan adalah sebahagian daripada anggota awal Anak Alam.

"Saya tidaklah rapat dengan Anak Alam, tetapi kerap juga saya bersama mereka. Dekad 1970-an adalah tahun-taun yang 'gila' antaranya Pameran Towards Mystical Reality yang diingati kerana menimbulkan perdebatan di kalangan semua seniman sama ada pelukis, penulis, penyair dan ahli akademik," katanya.

Dapat anugerah

Pada hayat Zulkifli, karyanya pernah dipamerkan pada Pameran Manusia dan Alamnya di Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Kuala Lumpur pada 1973; Eksposisi Seni, iaitu pameran dua pelukis bersama Yusoff Osman, Petaling Jaya (1974) dan Bakat Muda Sezaman di BSLN, selain menyertai Pameran Grafik Anak Alam 1, 2 dan 3.

Beliau menerima Anugerah Khas Pertandingan Man and His World di BSLN pada 1973, manakala pada tahun berikutnya meraih Anugerah Pelukis Terbaik, Pertandingan Bakat Muda Sezaman.

Info

Berlangsung di Galeri B, Balai Seni Negara sehingga 2 Julai ini

Menghimpunkan 200 karya yang kebanyakannya tidak sempat dipamerkan kepada umum dan disimpan oleh keluarganya

Pameran ini dikuratorkan oleh Nor Hanim Khairuddin

Berita Harian X