Isnin, 5 Jun 2017 | 12:01am

Telefon HTC U11 masuk pasaran akhir bulan ini

MODEL telefon HTC U11 .
MODEL telefon HTC U11 .

HTC Malaysia memperkenalkan telefon pintar ikonnya, HTC U11 dengan kerangka boleh digenggam untuk melancarkan aplikasi yang ditawarkan pada harga RM3,099.

Peranti pintar yang menjadi tumpuan media ketika pertama kali diperkenalkan di Taiwan dua minggu lalu itu dibuka untuk pratempahan bermula semalam sebelum mula memasuki pasaran akhir bulan ini.

Presiden HTC Asia Selatan, Faisal Siddiqui, berkata sempena ulang tahun ke-20 HTC tahun ini, pihaknya sentiasa komited memperkenalkan telefon pintar baharu dan menjadi peneraju segmen telefon pintar.

Faisal berkata, HTC masih menjadi tunjang dalam inovasi industri telefon pintar bagi memenuhi keperluan dan menyaingi produk telefon pintar lain di pasaran.

"Kami sentiasa di hadapan dalam inovasi dan teknologi telefon pintar yang sentiasa jadi ikutan pengeluar telefon pintar yang lain.

"Sekali lagi kami membuktikan menjadi yang pertama dalam inovasi teknologi dengan memperkenalkan model terbaharu ini," katanya pada majlis pelancaran HTC U11 di Kuala Lumpur semalam.

HTC U11 dilengkapi skrin 5.5-inci SLCD5 dengan resolusi QHD, dijana menggunakan cip Snapdragon 835, memori sebesar 6GB RAM dan ruangan storan 128GB yang boleh dipertingkatkan menggunakan kad mikro-SD sehingga 2 TB.

Faisal berkata, HTC U11 adalah telefon pintar pertama di dunia yang hadir dengan teknologi Edge Sense yang membolehkan anda memicit sisi telefon pintar anda untuk melakukan beberapa fungsi seperti mengambil gambar dan anda juga boleh mengubah jumlah kekuatan picitan anda.

Katanya, HTC U11 ini mempunyai skrin QHD Super LCD 5 berukuran 5.5 inci dilapisi gelas keselamatan Gorilla Glass 5, pemproses Qualcomm Snapdragon 835, dua kapasiti RAM dan ROM iaitu 4GB/64GB dan 6GB/128GB selain boleh dipertingkatkan menggunakan kad mikro-SD sehingga 2 TB.

Berita Harian X