Sabtu, 27 Mei 2017 | 12:00am
PELANGGAN berkunjung ke Restoran Siti Fatimah bagi memperoleh lauk-pauk segar dan panas.
PELANGGAN berkunjung ke Restoran Siti Fatimah bagi memperoleh lauk-pauk segar dan panas.

Kerabu beronok sajian popular

MOHD Farid menunjukkan sup gamat (kiri) dan kerabu beronok, antara menu popular pilihan ramai. - Foto Zunnur Al-Shafiq
MOHD Farid menunjukkan sup gamat (kiri) dan kerabu beronok, antara menu popular pilihan ramai. - Foto Zunnur Al-Shafiq

BAGI penduduk tempatan Langkawi, menikmati kerabu beronok ketika makan tengah hari adalah perkara lazim bagi mereka. Selain bertindak sebagai pembuka selera kerana rasanya yang enak, kerabu beronok juga mempunyai khasiat yang tinggi apabila dikatakan berupaya melancarkan perjalanan darah dalam badan dan menyembuh luka-luka dalaman serta membuka liang-liang roma, sekali gus memberi kesegaran kepada tubuh.

Kali pertama mencuba kerabu beronok, perasaan was-was tetap ada terutama tahap kebersihannya. Namun, selepas didesak jurugambar, ternyata rasa kerabu beronok yang dinikmati ketika bertandang ke Restoran Siti Fatimah di Mukim Ulu Melaka, Langkawi, sesuatu yang luar biasa!

Sangat sedap! Itulah ayat yang dapat diperkatakan sebaik saja menjamah makanan tradisional Melayu itu.

Menu paling laris

Selain kerabu beronok, hidangan lain seperti sup gamat turut laris dalam kalangan pelanggan tetap. Khasiat sup gamat sama seperti kerabu beronok, namun bezanya, gamat boleh dimasak untuk dijadikan sup.

Pemilik restoran berkenaan, Siti Fatimah Abdullah, 59, sekadar memantau kerja di bahagian dapur, manakala anaknya, Mohd Farid Idris, 35, bertindak sebagai pengurus.

Kata Farid, setiap kali pengunjung bertandang ke restorannya, kerabu beronok dan sup gamat adalah hidangan wajib dicuba.

Diusahakan turun-temurun

Perniagaan makanan kami diusahakan secara turun-temurun. Selain kerabu beronok dan sup gamat, hidangan istimewa di Restoran Siti Fatimah ialah ikan bakar yang dinikmati bersama ulam-ulaman tradisional dan sambal belacan.

"Restoran kami terletak di destinasi pelancongan popular iaitu jalan menuju ke Kota Mahsuri. Jadi, pelancong sering menjadikan restoran ini sebagai persinggahan untuk menjamu selera," katanya.

Sentiasa jaga kualiti

Sambutan yang menggalakkan membuatkan pengurusan restoran ini perlu memastikan kualiti makanan tradisional Melayu dijaga dengan baik. Tukang masak utama restoran ini diketuai kakak Farid, Fadlizawati, manakala staf lain turut membantu.

"Ini penting bagi memastikan kualiti makanan tidak 'ke laut'!

"Paling utama, masakan kami daripada sentuhan air tangan ibu. Bagi masa akan datang, kami akan menambah menu baharu, tapi tetap berasaskan produk dari Langkawi yang asli," kata Mohd Farid.

Info

- Lokasi: Batu 5, Kampung Mata Air, Mukim Ulu Melaka, Pulau Langkawi, Kedah (restoran terletak di tepi jalan iaitu perjalanan menuju ke Kota Mahsuri). Koordinat: 6.326 707, 99.790 764

- Beronok ialah spesies mentimun laut, hanya boleh diperoleh di Pantai Hujung Airport, Langkawi. Ia hidup di kawasan berlumpur. Dalam badan beronok dipenuhi air masin, baik untuk kesihatan.

- Selain penduduk tempatan yang menggemari kerabu beronok, pelancong luar negara terutama dari Australia dan Belanda, turut menggemarinya kerana sangat berkhasiat dan enak.

- Bagi sebarang pertanyaan dan tempahan, hubungi atau WhatsApp Mohd Farid Idris di talian 012-4737430. Dibuka setiap hari kecuali Rabu mulai jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang.

Berita Harian X