Ahad, 21 Mei 2017 | 12:06am

Perubahan cuaca uji fizikal pendaki Annapurna

SERAMAI 62 pendaki terdiri pengamal media termasuk dari Kumpulan Media Prima, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan kakitangan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) mengibar Jalur Gemilang setelah berjaya sampai ke Annapurna Base Camp (ABC) pada ketinggian hampir 4,130 meter. [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR /BH]
SERAMAI 62 pendaki terdiri pengamal media termasuk dari Kumpulan Media Prima, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan kakitangan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) mengibar Jalur Gemilang setelah berjaya sampai ke Annapurna Base Camp (ABC) pada ketinggian hampir 4,130 meter. [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR /BH]

EMOSI 62 pendaki dari Malaysia sebaik menjejaki Pangkalan Kem Annapurna atau Annapurna Base Camp (ABC), Nepal bercampur-baur meluahkan perasaan berbeza-beza yang tidak dapat disembunyikan selepas berjaya menyahut cabaran berada di ketinggian 4,130 meter dari paras laut.

Mendaki dan menuruni permatang, lereng bukit, tangga batu dan meredah salji selain menahan kesejukan untuk ke ABC memberi pelbagai pengalaman kepada pengamal media, pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); wakil Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh; ahli persatuan belia Pahang, Parlimen Paya Besar dan Kelab Eksplorasi FELDA Jerangau Barat (KELEK_JB), Terengganu.

Ekspresi wajah setiap peserta ketika itu cukup membayangkan kepuasan diri, sekurang-kurangnya berjaya mencatat rekod peribadi untuk menjejaki ABC yang menjadi idaman setiap pendaki bukan saja dari Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

EMPAT wartawan BH, dari kiri, Irwan Shafizan Ismail, Khirul Bahri Basaruddin, Zainuri Misfar dan Abdul Razak Raaff antara 62 pendaki berjaya sampai ke Annapurna Base Camp (ABC) pada ketinggian hampir 4,130 meter. [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR /BH]
EMPAT wartawan BH, dari kiri, Irwan Shafizan Ismail, Khirul Bahri Basaruddin, Zainuri Misfar dan Abdul Razak Raaff antara 62 pendaki berjaya sampai ke Annapurna Base Camp (ABC) pada ketinggian hampir 4,130 meter. [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR /BH]

Bakal dicatat dalam MBOR

Ekspedisi Cabaran ABC yang bakal dicatat dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) membabitkan peserta daripada pelbagai latar belakang, kerjaya berusia antara 24 hingga 58 tahun berjaya menamatkan misi ini dalam masa 12 hari.

Ia anjuran bersama Kelab Rekreasi dan Kebajikan Media Pahang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang (JBP Pahang) dan Summit Attack Resources (SAR).

Kami bertuah kerana pemandu arah (guide), Ganesh Nuepane dari White Himalaya Treks And Expedition dan pembantunya, Raj Nuepane mampu berbahasa Inggeris dengan baik sekali gus memudahkan interaksi sepanjang ekspedisi ini.

SEBAHAGIAN daripada 62 pendaki berjaya sampai ke Annapurna Base Camp (ABC) pada ketinggian hampir 4,130 meter. [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR /BH]
SEBAHAGIAN daripada 62 pendaki berjaya sampai ke Annapurna Base Camp (ABC) pada ketinggian hampir 4,130 meter. [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR /BH]

Kopi, teh panas hangatkan badan

Koresponden TV3 Pantai Timur, Ahmad Fazli Ahmad menjadi ketua ekspedisi, bersama-sama pengasas SAR yang juga anggota Akademi JBPM Kuala Kubu Bharu (KKB), Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa memulakan pendakian ke ABC kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan (1.20 tengah hari waktu Malaysia) pada 27 April.

Lagu Negaraku berkumandang di Siwai dan selepas doa dibaca, kami meredah permatang, merentasi jambatan besi dan beberapa perkampungan di lereng bukit untuk sampai di Jhinudanda yang mengambil masa lima hingga tujuh jam perjalanan mengikut pace masing-masing.

Kami singgah di rumah tumpangan di New Bridge untuk makan tengah hari. Kami dihidangkan nasi dan kentang goreng, kopi dan teh panas untuk menyegarkan badan kerana ketika itu hujan lebat bersama angin kencang.

PENDAKI mengharungi Cabaran Annapurna 2017 melalui kawasan salji tebal sebelum menjejakkan kaki ke Annapurna Base Camp (ABC) pada ketinggian 4,130 meter. [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR /BH]
PENDAKI mengharungi Cabaran Annapurna 2017 melalui kawasan salji tebal sebelum menjejakkan kaki ke Annapurna Base Camp (ABC) pada ketinggian 4,130 meter. [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR /BH]

Semakin tinggi, bertambah mahal

Cuaca sejuk mula mengganggu mental peserta sebaik tiba di Jhinudanda dan ada peserta yang tidak sanggup mandi air paip umpama mandi ais dan rela membayar NPR150 (RM6) untuk mandi air panas.

"Sediakan nota kecil wang kertas Nepal Rupee (NRP) untuk membeli makanan, air panas, air mineral atau makanan ringan. Semakin tinggi rumah tamu, harganya semakin meningkat," kata Raj.

Ganesh dan Raj sentiasa memberi semangat dan motivasi kepada peserta.

Perjalanan panjang

Hari kedua menguji cabaran pendaki kerana jarak dari Jhinudanda ke Bamboo yang panjang dan mengambil masa hingga sembilan jam perjalanan.

"Kita akan melalui laluan berliku, pendakian tangga mencanak dan laluan berbatu untuk sampai ke Chomrong, perkampungan atas bukit yang bukan sahaja menyajikan pemandangan latar belakang Banjaran Himalaya.

"Kemudian menuruni tangga batu dan merentasi sungai sebelum sampai di Lower Sinuwa untuk makan tengah hari. Dari Sinuwa teruskan perjalanan ke Bamboo yang berada pada paras ketinggian 2,345 meter.

Tekad, semangat setia kawan

Pada hari ketiga, kami menuju ke Deurali yang berada pada ketinggian melebihi 3,249 meter. Peserta diingatkan berkaitan mabuk gunung (AMS) yang kebiasaannya berlaku selepas berada di ketinggian lebih 2,500 meter.

Perjalanan memakan masa hingga tujuh jam mengikut kadar (pace) sederhana, tidak terlalu laju bagi mengelak AMS tetapi tidak terlalu perlahan sehingga terpisah dengan ahli kumpulan.

Kira-kira jam 2 petang pada 30 April adalah hari bersejarah bagi kami yang memulakan pendakian pada hari keempat dengan tekad dan semangat setia kawan jitu untuk membantu rakan yang kehabisan tenaga dan diserang mabuk gunung untuk sama-sama memahat nama sebagai pendaki berjaya sampai ke ABC.

Kejayaan kami disambut dengan salji, angin kencang diikuti ribut salji. Ini benar-benar memberi cabaran kepada kami untuk mengibarkan Jalur Gemilang gergasi berukuran 12 meter lebar, enam meter tinggi dan berat 11 kg pada hari kelima pendakian.

Usia bukan ukuran

Dari tingkap rumah penginapan di ABC, kami melihat perubahan cuaca dan suhu mendadak. Salji semakin tebal. Ketika bergerak turun, beberapa peserta terguling atau tergelincir kerana trek yang licin umpama berjalan di atas ais batu.

Kami perlu bergerak sehingga ke Lower Sinuwa sejauh 25 km dari ABC. Keesokannya, perjalanan diteruskan hingga Siwai tempat permulaan sebelum bergerak pulang ke Pokhara kira-kira jam 7 malam.

Penulis kagum dengan semangat rakan pendaki berusia lebih 50 tahun seperti Pengerusi Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin, Pengarah JBP Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, Pengarang Berita (Online) BH, Muhamad Khirul Bahri Basaruddin, Jurukamera Kanan TV3 Pahang, Bazaai Ahmad, Komandan Akademi JBPM KKB, Saadon Mokhtar dan Timbalannya, Md Ali Ismail berjaya mengharungi cabaran dengan tenang.

Kesungguhan mereka mendaki dan mengabadikan gambar dengan pemandangan menakjubkan bersama peserta lain yang lebih muda wajar dicontohi dan dijadikan inspirasi kerana dalam pendakian tiada perkara yang mustahil untuk ditawan.

Info Ekspedisi Cabaran ABC

- 45 lelaki dan 17 wanita sertai Cabaran Annapurna Base Camp 2017

- ABC dikelilingi Gunung Annapurna I (tinggi 8,091 meter), Gunung Annapurna South (7,219 m), Gunung Machapuchhre atau Gunung Ekor Ikan (6,993 meter) dan Gunung Hiunchuli (6, 441 meter).

- Simptom AMS iaitu berasa pening, loya yang boleh menyebabkan muntah, sakit bahagian bawah kepala dan berhalusinasi dan mengakibatkan pendaki berdepan risiko maut.

- Empat wartawan BH yang turut melepasi cabaran pendakian ke ABC setinggi 4,130 meter ialah Pengarang Berita (Online), Khirul Bahri Basaruddin; Pengarang Berita, Zainuri Misfar; Ketua Biro BH Pahang, Abdul Razak Raaff dan wartawan Biro Putrajaya, Irwan Shafrizan Ismail.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X