Sabtu, 20 Mei 2017 | 12:07am

Tip Kerjaya: Dunia kulinari pikat generasi muda

PEMBABITAN dalam kerjaya kulinari menuntut daya kepemimpinan.
PEMBABITAN dalam kerjaya kulinari menuntut daya kepemimpinan.

KERJAYA dalam cabang kulinari mempunyai tarikan tersendiri tetapi mereka yang ingin menceburi bidang itu perlu mampu bekerja dalam masa lama dan keadaan panas di dapur.

Sehubungan itu, individu terbabit harus memiliki kekuatan mental untuk menghadapi cabaran berkenaan, selain ketahanan fizikal, dorongan minat, kesanggupan bekerja lebih masa dan mengorbankan waktu cuti, serta kreativiti tersendiri.

Tukang masak juga perlu memastikan hidangan sampai kepada pelanggan tepat pada masanya, selain sentiasa menitikberatkan penjagaan kebersihan kerana dunia kerjaya ini bertunjangkan makanan.

Pembabitan dalam kerjaya kulinari turut menuntut daya kepemimpinan supaya pekerja bawah mereka mematuhi kaedah penyediaan makanan yang betul dan tahap kualiti dikehendaki.

Bidang kulinari mempunyai prospek kerjaya yang luas kerana tenaga kerja itu mendapat permintaan tinggi dalam industri seperti katering, hotel, resort, restoran dan pusat konvensyen.

Pelajar jurusan itu juga boleh membuka perniagaan sendiri kelak jika berminat kerana mereka diberi pendedahan modul keusahawanan dan bimbingan sewaktu pengajian.

Sehubungan itu, pengajian dan peluang kerjaya dalam dunia kulinari semakin menambat perhatian generasi muda, termasuk lelaki yang menyaksikan ramai daripada mereka bergelar cef.

INFO: Skop tugas dalam bidang kulinari

  • Memastikan kebersihan di dapur meliputi pekerja, pinggan mangkuk, perkakas, peralatan memasak dan kawasan kerja.

  • Memberikan bimbingan dari segi teknik dan prosedur memasak.

  • Menganjurkan promosi makanan.

  • Merancang, menyelaras dan menyelia kerja di dapur.

  • Menentukan keperluan bahan kering dan basah untuk masakan.

  • Merancang menu dan konsep hidangan.

  • Menyediakan dan memasak bahan makanan.

  • Memantau kualiti pada semua peringkat terbabit.

  • Peka akan cita rasa pelanggan.
Berita Harian X