Jumaat, 19 Mei 2017 | 12:27am

Sedekah tidak kurangkan harta

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Iaitu orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa juga yang Allah berikan kepada mereka daripada limpah kurnianya. Dan (sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang kafir itu azab seksa yang amat menghina." (Surah an-Nisa, ayat 37)

Orang sombong, takbur dan berbangga diri itu ialah orang yang bakhil dan mereka tidak mahu menunaikan kewajipan infak pada jalan Allah SWT malah mengajak orang lain bersikap bakhil untuk berbakti pada jalan Allah SWT.

Ibnu Abbas dan Ibnu Zaid menyatakan, ayat ini diturunkan kerana kumpulan orang Yahudi datang menemui orang Ansar di Madinah, lalu menasihati supaya tidak membelanjakan harta mereka kerana takutkan kemiskinan.

Sebahagian mufassirin pula menyatakan, ayat ini diturunkan berikutan ulama Yahudi menyembunyikan daripada pengetahuan orang ramai mengenai sifat Nabi Muhammad SAW yang mereka peroleh dalam kitab suci mereka.

Namun, maksud ayat ini ditujukan untuk semua supaya tidak bersikap bakhil serta menyembunyikan apa yang Allah SWT berikan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya seperti harta benda dan wang ringgit.

Marah orang buat baik

Ini termasuk menyembunyikan sifat Nabi Muhammad SAW yang telah dinyatakan dalam kitab Taurat. Allah SWT seterusnya mengingatkan bahawa Dia telah menyediakan bagi orang kafir azab seksa yang amat hina.

Maksud bakhil dalam ayat ini ialah kikir untuk membuat kebaikan termasuk berbicara dengan baik, tidak memberi salam, tidak melakukan amar makruf nahi mungkar serta enggan bersedekah daripada rezeki kurniaan Allah SWT.

Bakhil juga menyebabkan mereka tidak ingin berkongsi ilmu, idea dan pemikiran kerana mahu membezakan kedudukan dengan orang lain. Kebakhilan menjadi lebih buruk lagi apabila orang itu bertindak mempengaruhi orang lain supaya bakhil sepertinya.

Ayat ini juga membayangkan hakikat sebenar perasaan orang bakhil iaitu tidak selesa dengan orang yang suka membantu serta menganggap mereka sebagai pesaing kerana orang yang suka membantu pasti mendapat tempat istimewa dalam masyarakat.

Rasulullah SAW bersabda: "Takutilah (jauhilah) kezaliman kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan di hari kiamat dan takutilah (jauhilah) perangai bakhil kerana bakhil itu telah membinasakan orang yang dahulu daripada kamu iaitu membawa mereka melakukan pertumpahan darah sesama mereka dan menghalalkan perkara diharamkan kepada mereka." (Riwayat Muslim)

Harta hanya pinjaman

Prof Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut, salah satu nilai rabbani paling utama dalam Islam ialah penetapan bahawa manusia bukannya pemilik harta yang hakiki tetapi hanya diberi kuasa untuk memanfaatkan harta Allah SWT.

Mereka yang menginfakkan harta disifatkan oleh Allah SWT sebagai orang yang mengharapkan perniagaan tidak akan mengalami kerugian. Mereka sedar rahsia keuntungan sebenar ialah apabila dapat melakukan pengorbanan membuang sifat kikir dan kedekut yang membelit jiwa.

Sudah tentu orang yang bersedekah secara sulit akan membebaskan diri mereka daripada perasaan riak serta meninggi diri dan pada masa sama dapat menjaga air muka penerima.

Sumbangan yang diberi secara terang-terangan adalah sebagai peringatan kepada yang mampu supaya turut menyumbang dan pendinding daripada tohmahan manusia bahawa dia adalah seorang bakhil yang tidak menghiraukan kesusahan orang lain.

Umat Islam dikehendaki bersifat pemurah dan menjauhkan diri daripada bersifat bakhil. Tamak kepada dunia dan kedekut dengan apa yang dimiliki sentiasa mendorong manusia melakukan maksiat serta dosa yang menjurus kepada kemungkaran.

* Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X