Jumaat, 19 Mei 2017 | 12:00am

Makan kimchi untuk jaga muka

BUKAN semua, jejaka Korea didakwa memiliki penampilan menarik dan gemar bereksperimen dengan fesyen.

Namun, tidak dinafikan terdapat juga dakwaan mengatakan, mereka terlalu obses dengan kecantikan hingga sanggup melaburkan sejumlah besar wang bagi melakukan pembedahan plastik untuk mendapatkan wajah idaman.

Selebriti tempatan yang kini menetap di Korea bagi persediaan bergelar artis di sana, Ajieb Rosdi atau lebih dikenali sebagai Hyunmin-A berkongsi keghairahan lelaki negara itu menjaga kecantikan.

"Sewaktu mula sampai di Korea lima tahun lalu, saya berkongsi bilik dengan seorang lelaki tempatan. Tergamam saya melihat kira-kira 20 botol pelbagai krim dan pelembap di meja soleknya, bertujuan memelihara dan mengekalkan kecantikan kulit," katanya.

Hyunmin berkata, dia diberitahu krim berkenaan dikategorikan dan digunakan mengikut empat musim iaitu musim bunga, panas, luruh dan sejuk.

"Sedikit sebanyak saya terikut-ikut menggunakan lebih daripada satu produk penjagaan muka, namun saya pastikan ia sesuai dengan jenis kulit. Saya juga tidak meninggalkan amalan mengenakan pupur muka untuk mengembalikan kesegaran wajah," katanya.

LEBIH daripada 20 peratus lelaki Korea mengenakan solekan.
LEBIH daripada 20 peratus lelaki Korea mengenakan solekan.

Tolak makanan berminyak

Bagi memastikan kulit bermaya dan licin secara semula jadi, Hyunmin amat menitikberatkan pemakanan iaitu menolak makanan berminyak dan digantikan dengan buah dan sayur segar seperti tomato kecil dan minuman susu pisang yang membekalkan vitamin C untuk kulitnya.

Selain itu, beliau turut terikut-ikut dengan amalan pemakanan masyarakat Korea yang mengamalkan minum air kosong selepas makan.

"Restoran di sana jarang menawarkan air manis, sebaliknya menyediakan air masak untuk pelanggan. Lama-kelamaan saya membiasakan diri minum air itu," katanya.

Malah, katanya, rutin minum segelas air masak sebaik bangun tidur bagus untuk melawaskan pembuangan air.

RADIKAL bebas ditentang dengan makanan tinggi antioksidan seperti jeruk kimchi.
RADIKAL bebas ditentang dengan makanan tinggi antioksidan seperti jeruk kimchi.

Banyak makan kimchi

Ditanya bagaimana dia mengekalkan potongan tubuh tanpa lemak di perut, Hyunmin berkata, kelaziman makan kimchi dalam setiap sajian memberi manfaat kesihatan.

Jeruk kimchi daripada adunan minyak ikan, minyak tiram, kubis panjang atau kubis Cina dan bawang yang digaul sekali sebelum diperam untuk tempoh tertentu kaya antioksidan yang dapat melindungi sel daripada kesan radikal bebas.

"Radikal bebas berupaya merosakkan sel, sekali gus memudaratkan kesihatan itu dapat ditentang dengan ambilan makanan tinggi antioksidan. Sementara itu, bagi yang sedang berdiet, amat disyorkan mengambil kubis Cina yang dipercayai sarat nutrien penting, serat malah rendah kalori," katanya.

Hyunmin berkata, masyarakat Korea termasuk kenalan artisnya taasub ke gimnasium bagi membentuk abdomen leper dan berotot.

"Kebanyakan lelaki tempatan mengidam memiliki perut dihiasi six pack yang digelar sebagai chocolate bar. Majoriti menjadikan aktor So Ji Sub sebagai rujukan untuk tubuh sempurna.

Bagaimanapun, kalangan penyanyi Korea, sasaran mendapatkan chocolate bar dilakukan bagi kemerduan vokal. Mereka percaya rejim senaman membentuk otot perut mendedahkan mereka dengan teknik pernafasan yang baik sekali gus mudah melantunkan nyanyian merdu," katanya.

Aliran rahang tirus

Kegilaan memperoleh rahang yang tirus atau bentuk V membuatkan ramai lelaki Korea mengambil keputusan melakukan pembedahan plastik kecil membabitkan hidung dan rahang.

"Mereka gemar selfie atau dalam kalangan remaja tempatannya menyebutnya sebagai selca. Rahang menjadi titik tumpu sewaktu bergambar, sebab itu mereka tidak suka rahang yang lebar dan besar yang dianggap tidak menarik," katanya.

Pembedahan plastik dilakukan seawal umur sembilan hingga 10 tahun dan kebanyakan remaja lelaki menjadikan salah seorang anggota Big Bang, G Dragon sebagai rujukan sempurna lelaki comel dan 'cantik'.

Katanya, lelaki Korea turut meniru hobi merias kuku penyanyi itu malah memilih corak sedondon dengan teman wanita sekali gus mengisytiharkan mereka sebagai pasangan kekasih.

"Mereka suka mencuba apa saja aliran gaya yang tular dalam kalangan netizen (pengguna internet). Asal ada duit semua boleh dilakukan apatah lagi kebanyakan salon dan spa di Korea menawarkan perkhidmatan 24 jam setiap hari," katanya.

INFO: Lelaki Korea

  • Ketinggian purata lelaki Korea adalah 175 sentimeter hingga 180 sentimeter.

  • Selain negara Kimchi dan Ginseng, Korea juga dikenali sebagai Republic of Plastic Surgery.

  • Dilaporkan, kira-kira 40% lelakinya mengunjungi klinik pembedahan plastik bagi mengecilkan rahang, hidung dan membuat pembedahan mendapatkan lipatan kelopak mata supaya mata kelihatan lebih besar.

  • Lebih daripada 20% lelakinya mengenakan solekan membabitkan pemakaian krim BB, pelembap muka dan bibir malah menyolek mata dengan penggaris mata.

Berita Harian X