Jumaat, 12 Mei 2017 | 12:02am

Ketahui maksud tersurat kisah dalam al-Quran

ANTARA perserta yang hadir di #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya.
ANTARA perserta yang hadir di #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya.

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar." (Surah Sod, ayat 29)

Ibnu Masu'd menjelaskan, tujuan penurunan al-Quran dengan ungkapan, "Diturunkan al-Quran kepada mereka untuk diamalkan, maka jadilah pengajiannya untuk beramal. Sesungguhnya seseorang kamu membaca al-Quran dari permulaan al-Quran sehingga akhirnya, tidak ada satu huruf pun yang tertinggal, apa yang tertinggal hanyalah amalannya."

Justeru, tanpa menafikan kepentingan dibaca dan dihafal, apa yang utama ialah beramal dengan keseluruhan isi al-Quran kitab diturunkan Allah SWT untuk menjadi panduan kepada manusia sepanjang zaman.

Kisah dan iktibar

Ia menjadi mukjizat teragung Rasulullah SAW dan terus menjadi mukjizat terhebat di sepanjang sejarah kehidupan manusia sehingga berlakunya kiamat. Sentuhan al-Quran mampu meruntuhkan segala keegoan serta kesombongan manusia dan jin.

Al-Quran menceritakan kesan kepada jin apabila mendengar al-Quran, mereka beriman kepada Allah SWT dan tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan-Nya.

Begitu juga sikap orang beriman apabila mendengar al-Quran maka gementar hati, khusyuk jiwa dan bergenang air mata di kelopak mata mereka. Iman mereka juga bertambah serta kepada Allah SWT diserahkan segala-galanya.

Apabila al-Quran menceritakan sesuatu, ia dapat menghidupkan kembali abad yang silam sehingga seolah-olah dapat didengar hingar-bingar di hujung telinga pertentangan antara kebenaran dengan kebatilan laksana rakaman mengembalikan peristiwa dalam sejarah umat manusia.

Satu fakta menarik mengenai al-Quran, kisah yang dibawa tidak menerangkan atau menjelaskan mereka yang disebutkan supaya manusia tidak sibuk atau menghabiskan masa mengkaji tokoh itu hingga lupa tujuan lebih penting iaitu untuk mengambil iktibar daripada kisah berkenaan.

Maksud tersirat

Kisah keangkuhan manusia turut dipaparkan dalam al-Quran antaranya kisah pembesar kaum Aad memperlihatkan keupayaan membina istana tinggi dengan benteng kukuh sebagai lambang kemegahan, kesenian, keindahan dan kekuatan mereka.

Isyaratnya jelas, manusia tidak ditegah membina bangunan sebanyak dan setinggi mana tetapi apa yang penting, bangunan itu dibina atas ketakwaan serta keimanan kepada Allah SWT, bukan kerana sombong atau dengan mengambil hak orang lain secara batil.

Hijab atau penghalang yang menyebabkan seseorang itu jauh daripada al-Quran ialah kelalaian, mengikut hawa nafsu dan takbur.

Justeru, bacalah al-Quran dengan membuka mata, telinga dan hati di samping membacanya secara tartil serta berusaha memahami kata-kata Allah SWT.

Bukan itu sahaja, jangan lupa laksanakan tuntutan dalam al-Quran. Menjadi keperluan kepada kita menjadikan al-Quran sumber motivasi, pengubat kesedihan, penyembuh keperitan ujian, peneguh jiwa serta penunjuk kepada jalan yang lurus.

* Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X