Jumaat, 12 Mei 2017 | 12:01am

Perlu lebih ramai pelumba seperti Hafizh Syahrin

KALAU mahu melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Itu pepatah yang boleh diungkapkan selepas melihat kejayaan Hafizh Syahrin Abdullah di pentas Moto2 Kejuaraan CEV Repsol minggu lalu.

Biarpun Hafizh menakluk podium utama di kejohanan yang kali terakhir disertainya lima tahun lalu namun kejayaan pelumba yang beraksi secara penuh di Kejuaraan Motosikal Dunia itu hadir selepas menimba pengalaman berharga di peringkat tempatan dan 'rebungnya' itu adalah di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

Kejuaraan Cub Prix ini boleh digambarkan sebagai 'sekolah rendah' dengan kesemua pelumba baharu diajar 'ABC ataupun 123', diasah bakatnya di sini sebelum menyertai pentas pertengahan seperti CEV Repsol dan kemudiannya melangkah ke peringkat dunia.

HAFIZH Syahrin menimba pengalaman berharga di peringkat tempatan dan 'rebungnya' itu adalah di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS. - Foto Osman Adnan
HAFIZH Syahrin menimba pengalaman berharga di peringkat tempatan dan 'rebungnya' itu adalah di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS. - Foto Osman Adnan

Bukan Hafizh saja yang dicungkil bakatnya di 'sekolah rendah' ini, ramai lagi yang sudah diangkat ke MotoGP dan antaranya ialah juara kelas Moto3 di GP Argentina dan Jerman tahun lalu, Khairul Idham Pawi, Adam Norrodin, Azlan Shah Kamaruzaman dan Zulfahmi Khairuddin.

Bimbing pelumba muda

Itu antara hasil generasi yang mula dituai sejak 22 tahun Cub Prix dianjurkan dan jangan lupa ada juga 'otai' seperti Shahrol Yuzy Ahmad Zaini - aktif dalam MotoGP dari tahun 1996 hingga 2002 - kembali ke Cub Prix bagi membimbing lebih ramai pelumba muda mencipta nama di persada antarabangsa.

Pokok pangkalnya, Cub Prix adalah asas dan 'akar' ini harus selalu dibajai seandainya kita mahu melihat lebih ramai klon Khairul Idham ataupun Hafizh dapat dihasilkan.

Justeru, sokongan padu daripada syarikat swasta amat diperlukan bagi menggandakan usaha dilakukan penganjur Cub Prix, pengeluar motosikal di Malaysia seperti Honda, Modenas, Yamaha dan penaja lain, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), PETRONAS mahupun Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat dalam sukan permotoran.

HAFIZH Syahrin ketika beraksi pada Kejohanan Motosikal Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Osman Adnan
HAFIZH Syahrin ketika beraksi pada Kejohanan Motosikal Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Osman Adnan

Kerjasama swasta

PETRONAS sendiri mempunyai program mereka yang dikenali sebagai Program Pembangunan Bakat dan antara pelumba dua roda yang ditaja adalah Hafizh serta beberapa lagi pelumba lain seperti Ramdan Rosli sebelum ini.

Tak dinafikan PETRONAS dan SIC banyak membantu tetapi andai kata mahu lagu Negaraku sering berkumandang di segenap benua, adakah sokongan daripada pihak swasta yang lain ketika ini sudah pun memadai?

Bagi saya, mungkin sudah mencapai 45 peratus saja. Seperti peminat yang lain, saya juga mengharapkan akan ada pelumba negara beraksi di kelas perdana MotoGP dan sekiranya itulah objektifnya maka sokongan, tajaan daripada pihak swasta serta kerajaan adalah amat ditagih 100 peratus terutamanya bagi memperkuatkan akar tunjang sukan dua roda tempatan, Cub Prix.

Berita Harian X