Khamis, 11 Mei 2017 | 12:04am

Letupan masih kedengaran di kawasan gencatan senjata

BEIRUT: Perjanjian untuk mewujudkan zon selamat anjuran Russia, Turki dan Iran di sebahagian besar kawasan bergolak di Syria, dikuatkuasakan awal, semalam.

Ia dilihat sebagai usaha terbaharu dalam menyelesaikan konflik di negara itu selepas sekian lama terbabit dalam peperangan.

Selepas beberapa siri cubaan sebelum ini gagal, perjanjian berkenaan buat pertama kalinya mewujudkan mekanisma untuk memantau proses gencatan senjata membabitkan pasukan dari tiga negara iaitu Russia, Iran dan Turki.

Dakwa perjanjian tidak sah

Pelan itu bagaimanapun tidak membabitkan penyertaan Amerika Syarikat (AS) manakala pemberontak Syria pula memilih untuk tidak menandatangani perjanjian sebaliknya mendakwa ia sesuatu yang tidak sah.

Perjanjian itu yang masih tidak memperincikan sebarang butiran lengkap secara kasarnya berkuat kuasa tengah malam kelmarin dan difahamkan, beberapa letupan masih kedengaran berlaku di utara Homs dan Hama iaitu antara kawasan yang dijangka disenaraikan dalam zon selamat namun tidak membabitkan sebarang kematian.

Sehingga kini, kaedah pelaksanaan gencatan senjata atau penentuan zon selamat masih samarsamar.

Pegawai Russia dipetik sebagai berkata, tempoh sekurang-kurangnya sebulan diperlukan untuk menyediakan maklumat lengkap berhubung pelan berkenaan dan penubuhan kawasan selamat.

Sementara itu pada sesi rundingan di Kazakhstan Khamis lalu, pihak berkaitan mengakui kemungkinan untuk berlaku masalah terhadap pelan berkenaan selepas mengambil kira konflik rumit yang menyelubungi Syria.

Tiada sebarang mekanisma terbukti berkesan untuk menangani konflik dan keganasan di negara itu setakat ini, sama seperti rundingan terdahulu yang cuba dimeterai oleh pihak berkaitan.

Ruang udara sibuk

Antara aspek dilihat berpotensi menjadi masalah terhadap pelan itu ialah ruang udara Syria yang sibuk dan perjanjian itu antara lain melarang kemasukan mana-mana pesawat di zon selamat.

Pesawat milik Syria, Russia, Turki dan pasukan gabungan diketuai AS lazimnya beroperasi di kawasan berbeza walaupun ada kalanya berada pada laluan yang sama di Syria.

Tidak dapat dipastikan apakah kesan terpaksa diterima pesawat perang pasukan gabungan diketuai AS yang masih meneruskan misi memerangi militan Daesh atau apakah mereka akan mematuhi peraturan ditetapkan perjanjian berkenaan. - AP

Berita Harian X