Rabu, 10 Mei 2017 | 12:07am
 SYAFIQ bersaing dengan empat pelakon lain iaitu Aiman Hakim Ridza, Ashraf Muslim, Shukri Yahaya dan Fattah Amin. - Foto Aziah Azmee
SYAFIQ bersaing dengan empat pelakon lain iaitu Aiman Hakim Ridza, Ashraf Muslim, Shukri Yahaya dan Fattah Amin. - Foto Aziah Azmee

Dua drama naikkan nama Syafiq

KUALA LUMPUR: Pelakon berbakat, Syafiq Kyle, percaya lakonannya dalam drama bersiri Tanah Kubur dan Suami Aku Paling Sweet banyak menyerlahkan namanya sehingga menjadi sebutan ramai.

Malah, pemuda berusia 24 tahun ini bukan sekadar mula mendapat perhatian tetapi turut tercalon sebagai calon Top 5 dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0.

Selepas dikenali hasil pembabitannya dalam drama Tanah Kubur, Syafiq pernah dikaitkan dengan pelakon wanita, Uqasha Senrose tetapi hubungan itu tidak berpanjangan.

Syafiq atau nama penuhnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak sendiri tidak menafikan ada masanya kontroversi mampu membantu menaikkan nama seseorang artis, tetapi dalam kes dirinya, sebaliknya pula berlaku.

"Semua itu bergantung kepada nasib. Ada artis yang popular apabila sesuatu isu melanda diri mereka. Begitupun, ada juga yang tidak boleh mencipta nama dengan cerita negatif semata-mata, sebaliknya kehadiran mereka disedari kerana bakat ditonjolkan dalam bidang seni yang diceburi.

"Ketika awal-awal pembabitan saya dalam dunia seni, saya akui turut terpalit dengan kontroversi. Saya bagaimanapun tidak melihatnya sebagai sesuatu yang negatif, tetapi proses pembelajaran dan pengajaran buat saya yang baru hendak berjinak-jinak dalam dunia hiburan.

"Bagaimanapun, agak mengejutkan kerana nama saya melekat sebagai calon Top 5 ABPBH 3.0 ketika saya tidak dikaitkan dengan sebarang isu. Mungkin ia berlaku kerana peminat tidak suka nama saya meledak menerusi gosip," katanya yang mengaku masih solo.

PELAKON, Syafiq Kyle pada Majlis Pra Kemuncak Anugerah Bintang Paling Popular 3.0 (ABPBH) di Balai Berita NSTP, Bangsar. - Foto Aziah Azmee
PELAKON, Syafiq Kyle pada Majlis Pra Kemuncak Anugerah Bintang Paling Popular 3.0 (ABPBH) di Balai Berita NSTP, Bangsar. - Foto Aziah Azmee

Syafiq berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan calon Top 5, pengacara, artis persembahan dan penyampai trofi ABPBH 3.0 di Balai Berita, baru-baru ini.

Malam kemuncak ABPBH 3.0 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 14 Mei ini. Ia juga disiarkan secara langsung menerusi TV3.

Selain penangan Tanah Kubur yang dilakonkannya selama lima tahun, Syafiq berkata, drama Suami Aku Paling Sweet yang menggandingkannya dengan aktres jelita, Mawar Rashid, baru-baru ini, antara faktor membantu namanya melekat sebagai finalis ABPBH, kali ini.

Menerusi kategori itu, Syafiq bersaing dengan empat pelakon lain iaitu Aiman Hakim Ridza, Ashraf Muslim, Shukri Yahaya dan Fattah Amin.

Kali pertama dicalonkan dalam ABPBH selepas lima tahun bergelumang dengan lakonan, Syafiq berkata, kini beliau dapat membayangkan perasaan artis yang menyaksikan nama masing-masing melekat sebagai finalis, seterusnya memenangi anugerah pada acara berprestij terbabit.

SYAFIQ Kyle, percaya lakonannya dalam drama bersiri Tanah Kubur dan Suami Aku Paling Sweet banyak menyerlahkan namanya sehingga menjadi sebutan ramai. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
SYAFIQ Kyle, percaya lakonannya dalam drama bersiri Tanah Kubur dan Suami Aku Paling Sweet banyak menyerlahkan namanya sehingga menjadi sebutan ramai. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

PELAKON Syafiq Kyle memenangi katagori Pelakon Paling Membantu pada Malam Throwbaek Drama di Hotel Premiera. - Foto Mahzir Mat Isa
PELAKON Syafiq Kyle memenangi katagori Pelakon Paling Membantu pada Malam Throwbaek Drama di Hotel Premiera. - Foto Mahzir Mat Isa

"Saya sangat terharu dan bersyukur apabila BH memberikan peluang untuk nama saya dicalonkan sama dalam senarai Top 20, hingga berjaya bolos dalam Top 5.

"Pencalonan ini sesuatu yang baharu bagi saya. Justeru, saya perlu terus berjuang mengasah bakat dan memberikan yang terbaik dalam lakonan. Saya akan memberikan hasil kerja lebih berkualiti untuk syarikat produksi yang menawarkan peluang berlakon kepada saya, untuk tatapan penonton drama Melayu," katanya.

Syafiq berkata, untuk terus kekal relevan dalam industri, beliau ingin mempelbagaikan watak dalam drama, selain menyimpan hasrat muncul di layar lebar. Penonton, tegasnya, pasti mahukan lakonan berbeza daripadanya.

"Saya sendiri kena berusaha dengan lebih lagi dari sudut pembawaan karakter supaya terus menonjol dalam drama seterusnya," kata Syafiq yang akan muncul dalam naskhah berjudul Malam Tanpa Yassin dan Nur 3 Pagi, sempena Ramadan nanti.

Selain itu, beliau juga akan bergandingan dengan aktres dari Singapura, Hana Delisya, menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer untuk siaran Astro Ria, selepas Aidilfitri. Pelakon ini turut ditawarkan membintangi drama Kalis Rindu untuk slot Samarinda, yang akan memulakan penggambarannya selepas raya.

SYAFIQ Kyle tersenarai calon Top 5 ABPBH 3.0. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
SYAFIQ Kyle tersenarai calon Top 5 ABPBH 3.0. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

INFO

  • Nama: Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak
  • Nama Komersial: Syafiq Kyle
  • Tarikh lahir: 25 Jun 1992
  • Asal: Cheras, Kuala Lumpur
  • Pendidikan: Diploma Filem, Teater dan Animasi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam
  • Drama Bersiri: Tanah Kubur, Kampung Girl, Kerana Terpaksa Aku Relakan , Bila Hati Berbicara, Dhia Sofea, Married Tapi Benci dan Suamiku Paling Sweet.
Berita Harian X