Ahad, 7 Mei 2017 | 11:58pm

Adira risau anak tak dengar kata

MENYEDARI ketika kecil dirinya nakal dan selalu melawan kata ibu, penyanyi Adira, 26, yang menempuh pengalaman indah selepas melahirkan anak sulung, Anggrek, dua bulan lalu, mula sedar pengorbanan dan tanggungjawab yang terpikul di bahu.

Calon Top 5 bagi kategori sampingan online, Artis Sensasi pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 ini mengaku, dirinya mula risau jika Anggrek menjadi nakal seperti dirinya.

Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi mula terasa beban seorang ibu sejak dikurniakan Anggrek hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu.

"Sekarang, barulah saya faham bagaimana perasaan ibu yang membesarkan kita dari kecil hinggalah dewasa. Saya ingat dulu saya nakal dan selalu enggan mendengar kata-kata ibu. Rasa menyesal pula sekarang kerana baru faham perasaan ibu apabila anaknya tidak mendengar kata.

"Saya harap apabila Anggrek sudah besar, dia tidak mewarisi sikap buruk saya itu. Saya doakan dia menjadi anak yang baik dan mendengar kata orang," katanya kepada BH Plus.

Adira selamat melahirkan Anggrek pada 10 Mac lalu. Adira mendirikan rumah tangga dengan Adnan di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.

ADIRA selamat melahirkan Anggrek pada 10 Mac lalu. - Foto Nurul Shafina Jemenon
ADIRA selamat melahirkan Anggrek pada 10 Mac lalu. - Foto Nurul Shafina Jemenon

ADIRA bersama suami dan anaknya, Anggrek. - Foto Nurul Shafina Jemenon
ADIRA bersama suami dan anaknya, Anggrek. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Tak boleh berenggang

Mengenai perkembangan karier, Adira yang 'senyap' selepas mendirikan rumah tangga memberitahu, secara perlahan-lahan dia mula aktif dengan aktiviti seni.

Namun, Adira enggan mengambil banyak tawaran kerana masih menyesuaikan diri untuk bekerja sambil mengasuh anak.

"Saya baru selesai berpantang sebulan lalu. Sebagai permulaan, saya hanya memenuhi undangan fotografi. Alhamdulillah, tawaran membuat persembahan pada majlis korporat semakin banyak.

"Cuma saya perlu memilih lagu sesuai kerana bersalin secara pembedahan. Jadi lukanya mengambil masa sedikit untuk sembuh. Tak bolehlah nak menyanyi lagu bernada tinggi," katanya.

Akui Adira dia selalu membawa Anggrek ke lokasi persembahan.

"Tak sanggup nak berjauhan dengannya. Apatah lagi Anggrek masih lagi menyusu badan," katanya.

MAJLIS aqiqah dan cukur jambul Anggrek di Kelab Rahman Putra Malaysia, Sungai Buloh. - Foto Nurul Shafina Jemenon
MAJLIS aqiqah dan cukur jambul Anggrek di Kelab Rahman Putra Malaysia, Sungai Buloh. - Foto Nurul Shafina Jemenon

SEBAHAGIAN kumpulan marhaban hadir pada majlis aqiqah dan cukur jambul Anggrek. - Foto Nurul Shafina Jemenon
SEBAHAGIAN kumpulan marhaban hadir pada majlis aqiqah dan cukur jambul Anggrek. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Bersyukur jadi calon ABPBH 3.0

Mengenai pencalonannya dalam kategori Artis Sensasi ABPBH 3.0 bersama empat bintang lain iaitu Elly Mazlein, Neelofa, Fattah Amin dan Uqasha Senrose, Adira bersyukur dirinya terpilih.

Baginya, ia bagai penanda aras dirinya masih diminati ramai.

"Alhamdulillah, berada di Top 5 sudah membuatkan saya rasa bersyukur dengan sokongan yang diberi peminat.

"Tipulah jika saya kata tidak mengharapkan kemenangan. Sudah semestinya ada. Itu yang membuatkan hati saya lebih berdebar apatah lagi barisan calon Top 5 bukan calang-calang." katanya.

INFO:

  • Malam kemuncak ABPBH 3.0 akan disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 14 Mei ini.
  • Adira selamat melahirkan Anggrek pada 10 Mac lalu.
  • Adira mendirikan rumah tangga dengan Adnan di Songkhla, Thailand, pada 3 Disember 2015.

SEBAHAGIAN pelajar sekolah tahfiz dan rumah anak yatim hadir pada majlis aqiqah dan cukur jambul Anggrek. - Foto Nurul Shafina Jemenon
SEBAHAGIAN pelajar sekolah tahfiz dan rumah anak yatim hadir pada majlis aqiqah dan cukur jambul Anggrek. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Berita Harian X