Sabtu, 6 Mei 2017 | 12:03am

Menu ala-Barat, menu sesuai untuk pikat hati keluarga

CEF Fairuse Abdullah menunjukkan menu dada ayam panggang bersama kentang putar dan sos cendawan. - Foto Aswadi Alias
CEF Fairuse Abdullah menunjukkan menu dada ayam panggang bersama kentang putar dan sos cendawan. - Foto Aswadi Alias

DAGING ayam sering menjadi pilihan dalam penyediaan menu masyarakat setempat. Malah, boleh dikatakan hampir setiap hari menu dihidangkan berasaskan ayam dan mungkin kadangkala ada yang buntu bagaimana untuk mempelbagaikan masakan mereka.

Jika bosan dengan menu harian seperti ayam masak merah, kari ayam dan ayam goreng, apa kata kali ini anda mencuba menu istimewa iaitu dada ayam panggang bersama kentang putar dan sos cendawan.

Pikat hati keluarga

Kebiasaannya, menu seperti ini dihidangkan di restoran makanan barat, jadi sekiranya anda bercadang untuk memikat hati keluarga atau tetamu yang hadir dengan masakan istimewa, ia sangat sesuai.

Penyediaannya mudah tetapi mampu memikat, apatah lagi ia boleh dikategorikan sebagai menu sihat kerana penggunaan bahagian dada ayam.

Minggu ini, Cef Fairuse Abdullah dari restoran Ame Soeur berkongsi resepi bersama Aroma Kulinari untuk panduan anda.

BAHAN-BAHAN. - Foto Aswadi Alias
BAHAN-BAHAN. - Foto Aswadi Alias

Bahan-bahan

5 gram (g) bawang besar

5g bawang putih

180g dada ayam

20g campuran herba

50g minyak jagung

10g lada benggala

15g lobak

20g brokoli

20g bayam

100g kentang putar

100g sos cendawan

Langkah demi langkah:

1. Panggang daging ayam yang disalut sos cendawan selama 10 minit dan asingkan.

2. Untuk melazatkan kentang putar masak bersama bawang putih, bawang besar, campuran cendawan, krim dan daun paisley. Asingkan.

3. Masak sayur dengan tumis bawang besar dan bawang putih kemudian masukkan lobak, pak choy dan lada benggala. Tambah perasa seperti garam dan lada hitam secukup rasa.

4. Hiaskan hidangan anda secara bertingkat dengan kentang putar, daging ayam dan sayur.

Info;

Ciri-ciri dada ayam

  • Kategori daging putih.
  • Mempunyai protein yang tinggi dan rendah lemak tepu.
  • Ia tidak mempunyai karbohidrat justeru sesuai dijadikan menu diet,
  • Kaya dengan nutrien dan vitamin.
Berita Harian X