Sabtu, 29 April 2017 | 12:04am

Profesion pensyarah amat kompetitif

KERJAYA sebagai pensyarah kini amat kompetitif dengan tuntutan komitmen pengajaran berkualiti dan penyelidikan berimpak tinggi, seiring kejayaan semakin banyak universiti tempatan menempa nama dalam penarafan bertaraf antarabangsa.

Bagi menceburi profesion pensyarah jurusan kejuruteraan, seseorang itu perlu memiliki ijazah dasar dalam bidang berkenaan dengan kelulusan sekurang-kurangnya pada peringkat sarjana.

Dalam konteks ini, kebanyakan universiti awam memilih graduan ijazah doktor falsafah (PhD) untuk menjadi pensyarah pengajian ijazah, manakala mereka yang berkelulusan sarjana pula lazimnya bagi program diploma.

Prospek kerjaya sebagai pensyarah dalam bidang itu amat luas di universiti tempatan dan luar negara.

Pensyarah yang memiliki kelulusan PhD dan sudah menjalankan penyelidikan secara khusus serta kurang bertindih dengan bidang kajian lain, lazimnya diberi keutamaan penawaran mengikut kepakaran.

Antara cabaran dihadapi pensyarah muda ialah memulakan semula penyelidikan dijalankan sewaktu mengikuti pengajian PhD.

Tahun pertama, pensyarah perlu mempelopori infrastruktur penyelidikan sedia ada di universiti tetapi kemudahan itu mungkin tidak mencukupi.

Oleh itu, mereka perlu bekerjasama dengan universiti tempatan atau luar negara dan pihak industri untuk menghasilkan penyelidikan lebih mampan.

Cabaran lain ialah mengimbangi antara tugas mengajar dengan menjalankan penyelidikan berimpak tinggi yang amat menuntut komitmen dari segi masa serta tenaga bagi memenuhi standard ditetapkan universiti, sekali gus menyumbang ke arah pembangunan masyarakat.

Profesion itu mampu memberi kepuasan tersendiri kerana bukan sahaja memainkan peranan mengajar tetapi juga berpeluang menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi.

INFO

Kerjaya pensyarah bidang kejuruteraan bioperubatan

  • Mengajar di dalam kuliah. Lazimnya, dua kuliah seminggu dengan setiap satu membabitkan masa antara dua hingga tiga jam.
  • Penyediaan bahan pengajaran untuk 14 minggu kuliah lazimnya dilakukan ketika cuti semester membabitkan kandungan terkini seperti buku rujukan tidak melebihi lima tahun penerbitan dan jurnal berimpak tinggi.
  • Pensyarah kanan turut menjalankan penyelidikan dan menyelia pelajar ijazah sarjana muda.
Berita Harian X